Oleh NORMIMIE DIUN
PENAMPANG: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang akan mengembangkan perkhidmatan Pakar Oftalmologi ke Lahad Datu pada tahun 2025.
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pada tahun ini ataupun tahun 2025 depan Pakar Oftalmologi Kebangsaan akan cuba untuk memfokuskan untuk meningkatkan lagi jumlah perkhidmatan terutama sekali di Sabah dan juga di Sarawak.
“Dan juga pada tahun hadapan sekurang-kurangnya kita akan membuka, menghantar Pakar Oftalmologi ke Lahad Datu dan juga Sri Aman.
“Ini adalah sangat-sangat penting terutama sekali yang berleluasa kita dapati adalah kesihatan mata ini agak tidak begitu baik di kalangan masyarakat luar bandar disebabkan oleh akses perkhidmatan yang terhad berbanding dengan perkhidmatan-perkhidmatan Oftalmologi yang terdapat di hospital-hospital besar kita di bandar-bandar besar di Sabah, Sarawak dan juga di Semenanjung Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Penglihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2024 di ITCC di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, berdasarkan maklumat yang ada berkenaan tentang Pegawai Optometri yang ditempatkan di hospital daerah kini mempunyai 24 penjawatan dan juga untuk klinik kesihatan ada tiga penjawatan.
Tambah beliau, manakala untuk pakar mata, buat masa ini ada penempatan di Hospital Queen Elizabeth, Hospital Wanita Kanak-kanak Sabah di Likas, Hospital Tawau, Sandakan dan juga Keningau.
“Sebab itu pada tahun 2025, kami merancang untuk meluaskan perkhidmatan di Hospital Lahad Datu itu bermaksud kita ada pakar-pakar kita di hospital-hospital besar.
“Apa yang berlaku di Lahad Datu ketika ini adalah kita menghantar pakar kita sebagai visiting specialist, jadi untuk tahun 2025, Insya Allah kita akan dapat menghantar pakar kita untuk ditempatkan di Lahad Datu,” katanya.
Selain itu, Lukanisman berkata pihak KKM juga mengalu-alukan peranan komuniti khususnya kepada Lions Club dan juga Rotary Clubs yang juga turut memberi sumbangan membantu pihak KKM.
“Ini merupakan salah satu perkara yang ingin kita tekankan di dalam kertas putih kesihatan juga penglibatan masyarakat ataupun swasta adalah sangat ditekankan di mana mereka boleh membantu dari sudut sumbangan-sumbangan yang boleh membantu kami di KKM untuk lebih dapat bergerak jauh lagi ke kawasan-kawasan pendalaman.
“Sudah pasti aktiviti literasi akan kita perluaskan terutama sekali berkenaan tentang kepentingan penglihatan kepada masyarakat.
“Kita kena sedar bahawa penyakit mata ataupun rambun ataupun blindness ini bukan hanya terhad kepada golongan warga emas ataupun golongan kanak-kanak tetapi adalah di peringkat produktiviti negara.
“Maksudnya masyarakat dewasa yang memerlukan penglihatan yang baik dan juga jika penglihatan terjejas, ini akan menjejaskan produktiviti ataupun tugas-tugas seharian dan juga produktiviti ini sangat diperlukan dalam perkembangan ekonomi semasa,” jelasnya.
Turut hadir pada majlis itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Asits Sanna.