HomeEkonomiMIDE sasar nilai potensi jualan IKS sebanyak RM50 juta

MIDE sasar nilai potensi jualan IKS sebanyak RM50 juta

Read Time:2 Minute, 30 Second

Beaufort : Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) mensasarkan nilai potensi jualan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah sebanyak RM50 juta melalui Karnival Jualan PMKS pada tahun ini.

Pembantu Menteri, Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Suryady Bandy berkata, jika sasaran itu dapat dicapai, maka anggaran peratus pencapaian nilai potensi jualan usahawan IKS Sabah dapat ditingkatkan sebanyak 40 peratus berbanding pencapaian pada tahun lalu.

“Setakat penyertaan daripada ekspo yang telah berlangsung, usahawan IKS Sabah telah berjaya menjana nilai potensi jualan sebanyak RM51.4 juta dan nilai ini telah melepasi pencapaian pada tahun lepas.

“Pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Sabah bagi tahun 2023, KDNK Sabah telah berkembang 1.3 peratus berbanding 3.9 peratus pada tahun sebelumnya untuk mencatatkan nilai ditambah berjumlah RM83.2 bilion berbanding tahun 2022 adalah RM82.1 bilion. 

“Sektor Pembuatan meningkat sebanyak 4.4 peratus dan menyumbang sebanyak 7.3 peratus kepada KDNK Sabah atau bersamaan RM6.07 bilion berbanding tahun 2022 hanya RM5.8 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan PMKS Zon Beaufort 2024, di sini semalam.

Hadir sama Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih, Pengurus Besar Kumpulan Perbadanan Ekonomi Sabah (SEDCO), Haizar Razif Hisyam Ajaz Nabijan, Pengarah Koperasi Malaysia Cawangan Sabah, Effendee O.P Andu serta Pengurus Besar Sedcovest Holdings Sendirian Berhad, Abdul Rahim Md. Zain.

Andy berkata, kementeriannya sentiasa  berusaha memajukan lagi usahawan-usahawan ini menjadi lebih produktif serta berdaya saing dalam menghasilkan produk-produk yang berkualiti dan seterusnya membantu meningkatkan sumbangan kepada sektor pembuatan melalui peningkatan eksport ke luar negeri.

“Kementerian saya melalui DIDR dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO) akan menyediakan latihan dan kursus, menyediakan bantuan mesin, meningkatkan kualiti pembungkusan produk, menyediakan premis kedai atau ruang perniagaan, membantu memasarkan produk ke pasaraya tempatan dan Semenanjung termasuk pasaran antarabangsa.

“Pelbagai program dan inisiatif telah dirancang untuk dilaksanakan dan ianya adalah bagi menyokong pembangunan usahawan serta mewujudkan industri yang berdaya tahan dan mapan. Program-program yang dirancang ini akan dapat mengoptimumkan prestasi para usahawan serta mewujudkan peluang untuk usahawan berkembang dengan lebih maju.

“Oleh itu, atas keprihatinan Kerajaan Negeri kepada Usahawan PMKS di negeri Sabah, Kementerian akan terus berusaha untuk membantu para Usahawan PMKS Sabah meningkatkan kapasiti dan kapabiliti mereka melalui Program Bantuan SME-UP dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM15 Juta. Pada tahun lalu, seramai 1,031 Usahawan PMKS Sabah telah menerima manfaat melalui bantuan ini.

“Bagi memperluaskan pasaran produk ke pasaraya tempatan, DIDR telah bekerjasama dengan Pasaraya Bataras, Kedai Mesra Petronas dan Kojasa Mart. Melalui kolaborasi bersama Pasaraya Bataras, hasil jualan pada tahun 2023 adalah sebanyak RM 3.64 Juta dan hasil jualan di Kedai-Kedai Mesra Petronas di seluruh Sabah adalah sebanyak RM 2.46 juta,” katanya.

Untuk rekod, DIDR turut membantu mempromosi dan memasarkan produk Sabah ke pasaran Antarabangsa melalui ekspo-ekspo perdagangan Antarabangsa yang diadakan di seluruh dunia seperti Gulfood di Dubai, Thaifex di Bangkok, FHA Expo di Singapura, World’s Food Expo (WOFEX) di Manila dan HKTDC Food Expo Pro 2024 di Hong Kong.

RELATED ARTICLES
Utama

Bersatu dalam meraikan kepelbagaian dan kepercayaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular