HomeIsu tempatanAKEPT, UMS lancar projek kerjasama tambah baik sistem UniLead

AKEPT, UMS lancar projek kerjasama tambah baik sistem UniLead

Read Time:1 Minute, 46 Second

Kota Kinabalu :  Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menandatangani kerjasama bagi projek penambahbaikan sistem ‘University Leadership Directory’ (UniLead), baru-baru ini.

Sistem UniLead merupakan sistem sehenti yang akan digunakan oleh AKEPT,  Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dalam menjana maklumat analisis profil kompetensi calon yang berpotensi tinggi bagi membantu proses pembuatan keputusan berkaitan pengisian pemilihan jawatan strategik di IPTA.

Sistem UniLead juga bertujuan membantu semua pengguna mengurus proses pembangunan latihan yang bersesuaian dengan lebih cekap, efisien dan telus untuk memperkasa kumpulan bakat.

Menurut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, projek tersebut merupakan inisiatif penting yang bakal memberikan impak besar kepada KPT, AKEPT dan semua universiti awam dalam usaha memperkukuh bakat dalam sektor pendidikan tinggi.

“Hubungan erat antara AKEPT dan UMS bukanlah suatu yang baharu, bahkan telah terjalin sejak sekian lama melalui pelbagai kolaborasi yang melibatkan latihan dan program kepimpinan.

“AKEPT dan Bahagian Kepimpinan dan Pembangunan Bakat (BKEPT) di Jabatan Pendaftar UMS telah bekerjasama rapat dalam pelbagai program, khususnya dalam memupuk kemahiran dan pembangunan profesional.

“Keakraban dan kerjasama yang sedia terjalin ini memberikan asas yang kukuh untuk meneruskan inisiatif bersama dalam pembangunan sistem UniLead,” katanya.

Luqman berkata kerjasama antara AKEPT-UMS diperkukuh melalui program sangkutan yang bermula pada Mac 2023 sehingga Februari 2024 dengan menempatkan dua kakitangan UMS di AKEPT secara bergilir dalam membangunkan modul UniLead diikuti dengan modul latihan.

“Kini dengan permintaan AKEPT untuk menambah baik sistem ini, pasukan kami di UMS berbangga dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan modul-modul baharu seperti LeadDNA, yang akan berfungsi sebagai alat penilaian yang inovatif dan strategik bagi AKEPT.

“Kami berharap agar kolaborasi erat antara UMS dan AKEPT akan terus berkekalan, dan UMS komited untuk terus menyokong AKEPT dalam inisiatif masa depan berkaitan dengan transformasi digital dalam kepimpinan pendidikan tinggi,” ujar Luqman.

Penambahbaikan sistem UniLead adalah untuk memastikan kelangsungan pengurusan sumber manusia berasaskan kompetensi yang boleh diakses oleh pengurusan AKEPT dan Unit Pengurusan Bakat di semua IPTA.

Data tersebut akan dapat membantu dalam perancangan latihan kelompok bakat kepimpinan universiti yang boleh dipantau secara berkala dan diurus dalam satu proses ekosistem sumber manusia yang berstruktur.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

100 warga emas diraikan sempena Hari Natal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular