HomeIsu tempatanGolongan belia perlu terus perkasa kemahiran digital

Golongan belia perlu terus perkasa kemahiran digital

Read Time:1 Minute, 58 Second

Kota Belud: Golongan belia diingatkan agar terus mengeksplorasi dan memperkasa kemahiran digital selain tidak takut untuk mencuba serta belajar daripada pengalaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk Datuk Mohd Arshad Bistari berkata, dalam era digital ini, keperluan perkhidmatan pembaikan telefon bimbit semakin meningkat dan diperlukan.

“Dengan kemahiran yang tepat, anda boleh memanfaatkan peluang ini untuk memulakan perniagaan sendiri.

“Saya dimaklumkan kursus ini membekalkan anda dengan pengetahuan mengenai jenis-jenis kerosakan, alat dan teknik pembaikan serta strategi di pemasaran yang berkesan jadi, manfaatkanlah ilmu yang diperoleh dengan sebaiknya dan jangan takut untuk mencuba daripada pengalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Kursus Keusahawanan Digital Pembaikan Telefon Pintar dan Keusahawanan Belia di sini baru-baru ini.

Mohd Arshad yang juga Pengerusi Sabah Softwoods Berhad mahu para peserta menyiapkan diri dengan pengetahuan untuk menceburi bidang keusahawanan sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

“Saya berharap para peserta dapat melengkapkan diri dengan pengetahuan dan inspirasi untuk menceburi bidang keusahawanan.

“Saya juga mahu para peserta mengambil peluang dengan serius dan berusaha mencapai kejayaan. Selepas ini, bolehlah ajak kawan-kawan untuk memulakan perniagaan bersama-sama,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata,  kursus tersebut merupakan kursus digital yang pertama anjuran pihaknya.

Katanya setakat ini, pihaknya telah membelanjakan RM1 juta kepada Sabah dalam pelbagai program pembangunan keusahawanan termasuk kemahiran jahitan, rider motorsikal dan sebagainya dengan menyasarkan golongan asnaf sebagai peserta.

Sementara itu, peserta kursus, Rosman Rostin, 34, dari Kampung Siasai ingin memanfaatkan ilmu yang diperolehnya sebagai kerjaya untuk menampung keperluan tiga anak yang masih bersekolah dan isterinya yang menguruskan rumah tangga.

“Saya memang berminat dengan kursus ini, cuma sebelum ini saya tidak dapat explore sebab tiada pengetahuan dan peralatan yang cukup.

“Saya mahu buat perniagaan yang kecil-kecilan dari rumah saja, promosi itu dari media sosial dari Tiktok, facebook dengan ahli keluarga jugalah sama kawan-kawan,” katanya.

Rakan kursusnya, Saniah Sain, 30, pula terpanggil untuk mengikuti kursus akibat terinspirasi dengan minat suaminya yang berjinak-jinak dalam bidang pembaikan telefon pintar sejak tahun lalu.

“Ya, sekarang saya rasa lebih yakin dan selepas ini, kami merancang untuk terima pelanggan di rumah dulu dan kalau sudah ada kemampuan barulah buka premis,” katanya.

Kursus tersebut merupakan kolaborasi Darul Bakti dan CIMB Islamic yang disertai seramai 50 orang asnaf masing-masing menerima sijil serta bantuan peralatan pembaikan telefon pintar.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Gandingan ayah, anak cipta legasi keluarga cemerlang dalam akademik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular