Kota Kinabalu : Semua proses evakuasi di Hospital Papar berjalan lancar berikutan insiden kebakaran melibatkan stor farmasi hospital berkenaan kira-kira jam 7.08 malam tadi.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, semua sumber sedang ditumpukan bagi memastikan semua pesakit dan warga hospital selamat.
“Saya mengambil maklum mengenai insiden kebakaran di Hospital Papar, Sabah. Semua sumber sedang ditumpukan untuk memastikan semua pesakit dan warga hospital selamat.
“Saya dimaklumkan evakuasi yang perlu juga berjalan lancar, Alhamdulillah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam ini.
Dr Dzulkefly turut menasihati orang ramai untuk kekal tenang dan memberi seluas-luasnya ruang untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menjalankan tugas mereka.
Katanya, kemaskini seterusnya akan diberikan setelah mendapatkan pengesahan daripada pihak berwajib.
“Sama-sama kita doakan keselamatan dan kesihatan semua,” katanya.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM dalam satu kenyataan berkata, kebakaran melibatkan dua buah bangunan iaitu sebuah stor perubatan Farmasi jenis kekal yang terbakar 100 sepenuhnya dan sebuah bangunan bilik makmal kajian yang hanya terkena bahangan.
Menurut kenyataan itu, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dengan bantuan tambahan dari BBP Kimanis yang dianggotai lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian, dan tiba pada jam 7.08 malam selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.02 malam.
Operasi pemadaman melibatkan 14 anggota serta jentera FRT, EMRS, dan RRV, pasukan Bomba.

Tiada mangsa yang dilaporkan terlibat dalam insiden ini dan maklumat terkini akan terus dikemas kini.
Pasukan Emergency Responce Team (ERT) Hospital Papar juga menggunakan tiga aliran Hose reel dari bangunan Hospital untuk membuat pemadaman awal di lokasi.
Pasukan HAZMAT JBPM Sabah juga telah membuat pemeriksaan di lokasi kebakaran dan tiada sebarang keberbahayaan yang melibatkan bahan kimia, radioaktif dan gas beracun. – SABAH MEDIA / FOTO JBPM Sabah