HomeUtamaPM tolak pemberi maklumat terlibat rasuah diberi perlindungan

PM tolak pemberi maklumat terlibat rasuah diberi perlindungan

Read Time:1 Minute, 26 Second

BERNAMA

Kaherah :  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sesiapa sahaja terlibat dalam rasuah mesti diambil tindakan, selaras dengan pendirian dasar Kerajaan Madani.

Bagaimanapun Anwar berkata tindakan yang diambil mesti berlandaskan ketelusan dan keadilan.

“Kalau kita benar, kalau kita ini sungguh-sungguh dan beriltizam dalam membanteras rasuah yang sudah menjadi sistemik ini, maka kita beri laluan sepenuhnya kepada badan penguatkuasaan untuk menjalankan kerja secara profesional.

“Jangan kita desak supaya mesti ambil tindakkan sekarang atau minggu depan. Kalau tanya saya, mesti disegerakan, mesti telus, mesti adil, bila? itu terserah kepada keupayaan (pihak berkuasa),” katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasmi tiga beliau ke Mesir hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai dakwaan kes lapan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat rasuah dan seorang pemberi maklumat bagi kes itu dikatakan sudah menemui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ditanya jika beliau ada menerima surat daripada pemberi maklumat berkenaan bagi memohon perlindungan, Anwar berkata beliau tidak menerima sebarang surat dan kalau pun menerima surat, beliau akan terus menyerahkannya kepada SPRM.

Mengenai perlindungan kepada pemberi maklumat kes rasuah, Anwar berkata perlindungan tidak boleh diberikan berlandaskan maklumat yang samar-samar.

“Tetapi jangan sesiapa sahaja beri maklumat, terus diberi perlindungan. Inilah yang saya tengok dalam liputan media sekarang, siapa sahaja beri maklumat, mengapa Perdana Menteri tidak beri perlindungan?.

“Saya tak tahu kes apa…apa yang dia lakukan, mungkin bersih, mungkin baik, mungkin tidak terlibat, mungkin terlibat. Jadi serah kepada pihak penguatkuasaan,” katanya.

Justeru Anwar berkata jawatan Perdana Menteri tidak boleh digunakan untuk memberi perlindungan kepada sesiapa.

“Orang yang beri maklumat secara ikhlas dan tidak terlibat dalam rasuah harus diberikan perlindungan. Bagi yang sah, bagi yang tidak terlibat dalam rasuah, dasar kita mesti diberi perlindungan,” katanya.- BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular