Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menerima sebanyak 148 geran penyelidikan luar sehingga bulan lalu melibatkan jumlah penawaran sebanyak lebih RM19.5 juta.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, pencapaian luar biasa dalam penerimaan geran penyelidikan itu adalah melibatkan dari dalam dan luar negara.
“Angka ini bukan sahaja mencerminkan kebolehan penyelidik kita dalam mendapatkan kepercayaan daripada agensi pembiayaan tetapi juga membuktikan bahawa penyelidikan UMS diiktiraf sebagai berkualiti tinggi dan relevan di peringkat global.
“Walaupun kita telah mencapai banyak kejayaan, perjalanan kita masih jauh. Kita harus terus berusaha untuk memperkukuh budaya penyelidikan, melahirkan lebih ramai penyelidik yang berdaya saing, dan memastikan penyelidikan kita terus memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya.
Teks ucapannya dibacakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS Prof Ir Dr Rosalam Sarbatly
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Penyelidikan Universiti Malaysia Sabah 2024 (APUMS 2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini kelmarin.
Majlis disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Kasim berkata, penyelidikan dan inovasi memainkan peranan penting bagi memastikan ianya terus relevan dalam menghadapi perubahan global.
“Justeru, agenda penyelidikan di UMS sentiasa disesuaikan dengan keperluan semasa, bukan sahaja untuk memberi impak kepada pembangunan ilmu tetapi juga kepada masyarakat, industri, dan kelestarian alam sekitar.
“Pada tahun ini, kita menyaksikan bagaimana komitmen dan usaha gigih para penyelidik telah membawa universiti kita ke tahap kecemerlangan yang luar biasa.
Inilah bukti bahawa penyelidikan bukan sekadar aktiviti akademik tetapi satu amanah yang kita galas untuk mencipta manfaat kepada masyarakat sejagat,” katanya.
Katanya, para penerima dan penyelidik telah membuktikan bahawa usaha tanpa henti, tekad yang kuat, dan hasrat untuk berkongsi pengetahuan dan hasil penyelidikan melalui penerbitan dalam jurnal-jurnal atau buku-buku yang berimpak dan berindeks ini mampu meningkatkan kebolehlihatan nama UMS di persada antarabangsa. – SABAH MEDIA