HomeIsu tempatanMaritim Malaysia gagalkan cubaan seludup minyak petrol

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup minyak petrol

Read Time:1 Minute, 36 Second

Kudat :  Sejumlah 25 tong minyak petrol yang dianggarkan bernilai lebih RM10,000 cuba diseludup keluar ke Filipina berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, satu operasi  khas telah dilakukan di  sekitar  perairan Pulau Mandi Darah bagi membanteras kegiatan penyeludupan minyak yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini khususnya di kawasan perairan kudat.

Katanya, bertindak berdasarkan maklumat perisikan yang diterima, bot ronda Zon Maritim Kudat telah diatur gerak ke lokasi sekitar 1.6 batu nautika Timur Laut Telukan Paitan, Pitas bagi mengesan aktiviti terbabit.

Setibanya di lokasi lebih kurang jam 4.30 pagi, bot ronda yang ditugaskan telah berjaya mengesan satu pergerakan sebuah bot dalam keadaan bergelap.

“Semasa cuba dihampiri, dua individu yang mengendalikan bot terbabit bertindak terjun ke laut dan cuba untuk meloloskan diri di kawasan paya bakau berhampiran.

“Walau bagaimanapun seorang daripada suspek berjaya diberkas, manakala seorang lagi berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Hasbullah berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan, bot berkenaan membawa muatan sejumlah 25 tong biru berisi minyak petrol dianggarkan 5,000 liter dipercayai cuba diseludup keluar ke Filipina.

Katanya, pemeriksaan lanjut juga mendapati, suspek yang ditahan merupakan warga Filipina berumur lingkungan 28 tahun dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Bot bersama suspek serta barang rampasan seterusnya ditahan dan dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Zon Maritim Kudat bagi siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan  dianggarkan lebih RM25,000.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Menurutnya lagi, Zon Maritim Kudat memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang maklumat berkenaan kes ataupun sebarang salah laku dan kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular