Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Projek penyelidikan mengenai Pulau Layang-Layang (PLL) merupakan cerminan kepada keazaman pelbagai pihak untuk mempertahankan kedaulatan negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Dato’ Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, penyelidikan itu merupakan dedikasi luar biasa para penyelidik dan pembantu penyelidik dalam menjalankan amanah besar kepada negara.
“Pelancaran replika monumen kedaulatan dan buku pada hari ini adalah bukti nyata kejayaan penyelidikan translasi yang berimpak besar.
“Cadangan membina replika Monumen Kedaulatan Pulau Layang-Layang di daratan merupakan idea inovatif daripada pasukan penyelidik di bawah Pusat Penyelidikan Pulau-Pulau Kecil, Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Pendekatan ini membawa simbol laut ke daratan, menjadikan monumen penting ini lebih dekat kepada masyarakat. Dengan cara ini, rakyat dapat lebih memahami sejarah, menghargai warisan, dan menyemarakkan semangat patriotisme terhadap kedaulatan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Buku dan Pembinaan Replika Monumen Kedaulatan PLL di Bangunan Canselori UMS di sini hari ini.
Hadir sama Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor dan Ketua Projek Profesor Datuk Dr Mohd Harun Abdullah.
Projek itu bertajuk Sumber Semulajadi dan Potensi Pembangunan Strategik Ekonomi Luar Pantai Malaysia : Pulau Layang-Layang (TR@M2019).
Zaini berkata, kejayaan itu membuktikan bahawa usaha gigih, kreativiti dan inovasi para penyelidik berjaya membuahkan hasil yang amat bermakna.
“Namun, perjalanan kita masih jauh, dan pencapaian ini hanyalah permulaan kepada usaha yang lebih besar. Saya menyeru anda semua untuk terus meningkatkan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan.
“Ambillah peluang ini untuk meneroka bidang-bidang baharu yang berpotensi tinggi, berinovasi tanpa henti, dan menghasilkan penyelidikan yang mampu menyelesaikan isu-isu strategik negara serta masyarakat.
“Sebagai penyelidik, anda memegang amanah besar untuk menjadi pemangkin perubahan. Jadikanlah penyelidikan anda bukan sahaja sebagai usaha akademik, tetapi juga sebagai sumbangan kepada pembentukan masa depan negara,” katanya.
Terdahulu, Pusat Penyelidikan Pulau-Pulau Kecil (SIRC) FSSA UMS telah dianugerahkan geran penyelidikan di bawah Program Geran Penyelidikan Strategik KPT pada 2019.
Projek ini menyatukan penyelidik dari pelbagai disiplin, termasuk sains, ekonomi, geopolitik, Sejarah, pelancongan dan kejuruteraan bagi menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada universiti dan negara. – SABAH MEDIA / FOTO UMS