KOTA KINABALU: Yayasan PETRONAS terus memainkan peranan dalam membantu golongan kurang bernasib baik dengan menyebarkan keceriaan Krismas kepada 600 keluarga di Sabah melalui inisiatif Uplifting Lives.
Menerusi inisiatif ini, pek makanan keperluan dan perayaan telah diagihkan kepada keluarga di lima daerah iaitu Tamparuli, Kuala Penyu, Papar, Penampang, dan Kota Kinabalu.
Keluarga penerima manfaat dikenal pasti dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah.

Majlis penyerahan sumbangan di Tamparuli telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim.
Sementara itu, di Papar, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, yang juga Ahli Parlimen Papar, menyerahkan pek bantuan kepada penerima.
Turut hadir dalam majlis penyerahan di Papar ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Shariah Nelly Francis; ADUN Kawang merangkap Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuantim; dan Pegawai Daerah Papar, Muhammad Mohd Ali.
Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab, berkata menyebarkan kegembiraan perayaan melalui amalan kebaikan membantu mewujudkan perpaduan dan semangat kebersamaan.
“Melalui inisiatif Uplifting Lives, kami berhasrat untuk memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan sambil memupuk hubungan kebersamaan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pada tahun ini, Yayasan PETRONAS telah mengagihkan pek makanan perayaan kepada 11,850 keluarga di seluruh Malaysia sempena sambutan perayaan utama, termasuk Krismas.
Inisiatif Uplifting Lives merupakan sebahagian daripada fokus Yayasan PETRONAS terhadap kesejahteraan dan pembangunan komuniti, mencerminkan komitmen mereka untuk memberi impak positif kepada golongan yang memerlukan.