Sipitang: Sebanyak 60 buah hamper diserahkan kepada pesakit-pesakit yang menerima rawatan di Hospital Sipitang di sini sempena sambutan Hari Krismas.
Penyerahan hamper itu disampaikan Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad (QSB) Datuk Dr Yusof Yacob dan ia merupakan sumbangan QSB menerusi Yayasan Qhazanah Sabah.
Hospital Sipitang menjadi lokasi kedua untuk program ini dengan lokasi pertama di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Kota Kinabalu pada Rabu lalu.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif QSB Rudy Jaglul, Pengurus Yayasan Qhazanah Sabah Majorie Noivont, Pegawai Perubatan Hospital Sipitang Dr Norazwa Syazwani Awang Besar dan Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Sipitang Raymond Isyak Utah.
Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin ketika ditemui berkata, program yang dilaksanakan menjelang musim perayaan krismas itu adalah bagi menceriakan pesakit-pesakit yang menerima rawatan di wad.
Katanya, ia dilaksanakan menerusi Yayasan Qhazanah Sabah dibawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) program kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, satu lagi program adalah pendidikan dan menerusi kesejahteraan rakyat, bantuan turut diberikan untuk rawatan dan perubatan.
Beliau berkata, sebelum ini, Yayasan Qhazanah Sabah telah menaja rawatan dua pesakit di Pusat Hemodialisis Universiti Malaysia Sabah.
Dr Yusof berkata, sumbangan lain yang telah dilaksana termasuklah membabitkan mangsa kebakaran, bencana alam antaranya banjir dan gempa bumi. – SABAH MEDIA