KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, tampil menggesa pihak tertentu agar menghentikan segala fitnah dan tohmahan tidak berasas terhadap Tun Musa Aman, yang bakal dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11.
Yahya menegaskan bahawa pelantikan Musa sebagai pengganti Tun Juhar Mahiruddin, yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember 2024, adalah langkah yang tepat dan sesuai.
Pelantikan tersebut, katanya, dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan Negeri dan tidak seharusnya dipertikaikan.
“Musa adalah tokoh berpengalaman luas dan telah banyak menyumbang kepada pembangunan Sabah, khususnya dalam bidang ekonomi, infrastruktur, sosial, dan politik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Yahya, sebagai bekas Ketua Menteri Sabah, Musa telah membuktikan dirinya sebagai pemimpin yang mampu membawa perubahan besar kepada negeri ini.
“Tindakan sesetengah pihak yang menyebarkan fitnah dan cuba menghasut rakyat untuk membenci kepimpinan negeri dan negara amat tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila isu ini turut melibatkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Memandangkan fitnah terus dilemparkan terhadap Musa, saya menggesa pihak-pihak ini agar segera menghentikan tindakan tidak bertanggungjawab tersebut,” tegas Yahya, yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri penuh di bawah pentadbiran Musa.
Pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 mendapat perkenan Sultan Ibrahim, yang turut menyampaikan Surat Cara Pelantikan pada 17 Disember di Istana Negara.
Musa juga telah dianugerahkan pingat kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan jasa baktinya.
Pelantikan ini mencatatkan sejarah baharu dalam landskap politik Sabah.
Justeru, Yahya menyeru rakyat agar menghormati proses ini demi perpaduan dan kestabilan negeri.
“Sabah memerlukan seorang pemimpin yang berwibawa, dan saya percaya Musa adalah pilihan yang tepat untuk membawa negeri ini ke arah yang lebih cemerlang,” katanya.