Sipitang: Penganjuran Pesta Makan Tahun Kadayan Sabah adalah sebagai sumbangan Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN) bagi menceriakan Pekan Sipitang dan menarik pengunjung datang ke daerah itu.
Presiden PAADIAN Datuk Dr Yusof Yacob berkata, pada masa sama, penganjuran acara itu dapat menjana pendapatan kepada peniaga dan usahawan tempatan serta pemilik pusat penginapan.
Katanya, adalah dianggarkan kehadiran pengunjung dan peserta akan mencapai 30,000 hingga 50,000 orang dan suntikan aliran tunai boleh mencecah RM3 hingga RM5 juta.
“Kesan awal dari karnival ini telah menunjukkan nilai positif di mana semua Hotel, Motel dan Homestay telah habis ditempah sepanjang pesta ini berlangsung.
“Limpahan juga kepada Pekan Beaufort dan Lawas yang mana Hotel, Motel dan Homestay juga ditempah kerana Sipitang belum ada hotel atau tempat penginapan yang mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pesta Makan Tahun Kadayan Sabah yang disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif mewakili Ketua Menteri Sabah di Padang Majlis Daerah Sipitang, di sini hari ini.
Hadir sama, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah dan Pegawai Daerah Sipitang, Pegawai Daerah Sipitang Abd Karim A.M Zahari dan Presiden Kelab Usahawan Anak Tempatan Sabah (KUAT) Muhamad Farhan Alfian.
Penganjuran pesta itu merupakan kolabrasi antara PAADIAN dengan KUAT, Pejabat Daerah, Majlis Daerah dan agensi-agensi serta Jabatan Kerajaan bertemakan Karnival Kesenian, Kebudayaan dan Makanan Tradisi di Sipitang bermula semalam hingga 31 Disember ini.
Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin menambah, yang pasti menjadi tarikan adalah Gerai Satay di Anjung Satay Esplanade Sipitang yang sudah terkenal dan menjadi tarikan utama.
Menurutnya, Pesta Makan Tahun Kadayan Sabah ini satu bentuk acara tradisi keramaian dari suku kaum Kadayan khasnya suku kaum Kadayan yang ada di Borneo ini iaitu Sabah, Sarawak, Labuan dan Negara Brunei Darussalam.
Katanya, asasnya pasti sama juga seperti Pesta Menuai dari suku kaum Kadazan-Dusun-Murut (KDM) iaitu satu keramaian selepas menuai padi dengan hasil yang lumayan.
“Lazimnya acara atau Pesta Makan Tahun Kadayan dibuat di setiap kampung di mana persediaan tempat memasak, berkumpul yang disebut ‘Teratak’ dengan aktiviti memasak dan lain-lain dibuat secara gotong royong.
“Makanan tradisi yang wajib disediakan adalah Kelupis, Wajit, Nasi dari beras baru, amping dan berbagai makanan tradisi suku Kadayan, Tetapi pada masa ini keadaan sudah berubah di mana menanam padi bukan lagi sebagai pekerjaan utama dan generasi baru memilih kerja di pejabat.
“Walaupun demikan, kami suku Kadayan Sabah dan suku Kadayan di Borneo, sentiasa berusaha mengadakan Acara Makan Tahun Kadayan bagi mengekalkan tradisi adat resam Kadayan sebagai warisan suku supaya kekal wujud dan tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Beliau berkata, Sabah mempunyai lebih 37 suku kaum dan setiap kaum dibenarkan untuk menubuhkan persatuan masing-masing.
“Saya faham mengapa Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak membenarkan dan menggalakkan persatuan berteraskan kaum. Tujuan utama adalah untuk mengekalkan budaya, adat resam dan Bahasa. Kepelbagaian inilah yang menjadikan Sabah dan Sarawak, dua negeri yang unik, walau ada berbagai kaum tetapi kita tetap harmoni.
“Kepelbagaian kaum ini juga menjadikan budaya Sabah berbagai warna yang boleh dijadikan produk pelancongan yang unik dan akhirnya setiap kaum menyumbang kepada kepelbagaian budaya di Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA