HomeUtamaDBKK raih anugerah ‘The BrandLaureate DigiTech BestBrands 2024’

DBKK raih anugerah ‘The BrandLaureate DigiTech BestBrands 2024’

Read Time:2 Minute, 29 Second

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berjaya menerima Anugerah ‘The BrandLaureate DigiTech BestBrands 2024’ yang mengiktiraf DBKK dalam transformasi digital melalui pelaksanaan sistem Sabah Smart Parking (SSP).

Anugerah berprestij itu dianugerahkan oleh The World Brands Foundation (TWBF) yang diterima Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah di ibu negara baru-baru ini.

Dr Sabin dalam kenyataan berkata, pihaknya menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian DBKK serta usaha berterusan untuk mempertingkatkan perkhidmatan bandar melalui inovasi.

Katanya, pengiktirafan itu meletakkan DBKK sebagai salah satu organisasi utama negara dalam memacu kemajuan teknologi dan mengukuhkan komitmennya untuk menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar pintar.

“Kejayaan DBKK dalam meraih anugerah ini didorong oleh pelaksanaan sistem SSP iaitu merupakan satu inisiatif yang telah memodenkan infrastruktur letak kereta di Kota Kinabalu.

“Dengan lebih 180,000 pengguna berdaftar, aplikasi SSP yang menggantikan kaedah kupon tradisional dengan aplikasi mudah alih yang mesra pengguna.

“Aplikasi ini menawarkan pembayaran masa nyata, kemas kini ketersediaan tempat letak kereta, dan integrasi lancar dengan platform pembayaran lain, sekali gus meningkatkan kemudahan kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Sabin berkata, dengan automasi dan penstrukturan semula operasi letak kereta, SSP bukan sahaja memperbaiki pengalaman pengguna tetapi juga dijangka meningkatkan hasil kutipan letak kereta sebanyak sekurang-kurangnya 20 peratus setiap tahun.

Katanya, sistem itu turut memberi pelbagai manfaat kepada pengguna, termasuk mengelakkan dikenakan denda atau penalti yang lebih tinggi akibat tempoh letak kereta tamat.

Tambahnya, dengan peringatan tepat pada masanya, pengguna dapat melanjutkan tempoh letak kereta dengan mudah, mengurangkan risiko dikenakan bayaran tambahan selain aplikasi itu dapat menyelesaikan kerumitan pembelian kupon manual serta keperluan untuk sentiasa menambah tempoh letak kereta, sekali gus menawarkan pengalaman yang lebih lancar dan bebas tekanan.

“Lebih penting lagi, sistem digital ini menangani cabaran yang sering dikaitkan dengan sistem kupon tradisional, seperti kewujudan tiket letak kereta palsu dan penyalahgunaan kupon melalui sambungan tempoh yang tidak sah.

“Dengan menghapuskan kelemahan ini, DBKK telah mewujudkan ekosistem letak kereta yang selamat dan telus, sekali gus menghalang sindiket daripada mengambil kesempatan melalui cetakan kupon haram untuk keuntungan peribadi,” katanya.

Dalam pada itu, Sabin berkata, sistem SSP juga menjadi asas kepada komitmen DBKK terhadap inovasi, selari dengan ‘Sabah Smart City Blueprint’ yang menekankan pengurusan bandar berasaskan teknologi.

Katanya, pendekatan mesra alam yang menghapuskan penggunaan kupon kertas menyokong matlamat kelestarian DBKK. Kempen kesedaran awam yang meluas turut memastikan penerimaan sistem ini secara menyeluruh, mencerminkan pendekatan DBKK yang berpandangan jauh terhadap pengurusan bandar.

The BrandLaureate Awards, yang merupakan salah satu pengiktirafan paling berprestij di Malaysia, mengiktiraf jenama-jenama yang cemerlang dalam industri masing-masing.

Anugerah DigiTech BestBrands ini menyerlahkan kepimpinan DBKK dalam inovasi perbandaran dan menjadi penanda aras bagi pihak berkuasa bandar lain untuk mencapai pencapaian serupa.

Pengiktirafan ini bukan sahaja meraikan kejayaan teknologi DBKK tetapi juga memperkukuhkan komitmennya untuk mewujudkan persekitaran bandar yang mampan, cekap, dan inklusif.

Dengan anugerah ini, DBKK berhasrat untuk memperluaskan inisiatif bandar pintarnya, dengan memberi tumpuan kepada pengurusan sisa, pengangkutan awam, dan tenaga boleh diperbaharui, memastikan Kota Kinabalu terus berkembang sebagai model bandar pintar yang unggul. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK

RELATED ARTICLES
Utama

Cederakan ‘kekasih gelap’, dua wanita dikenakan PKW

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular