HomeIsu tempatanZon Maritim Sandakan rekod nilai rampasan RM90.32 juta sepanjang 2024

Zon Maritim Sandakan rekod nilai rampasan RM90.32 juta sepanjang 2024

Read Time:1 Minute, 42 Second

Sandakan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan merekodkan nilai rampasan sebanyak RM90.32 juta sepanjang tahun 2024.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, rampasan itu membabitkan sebanyak 67 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan di perairan negara.

Katanya, seramai 136 orang turut ditahan sepanjang 2024 dan 26 orang telah didakwa di mahkamah.

Menurutnya sebanyak 23,705 pemeriksaan vesel dilakukan dengan hampir 52,151 orang telah diperiksa dalam tempoh yang sama.

Suhairy berkata Maritim Malaysia komited menangani jenayah di laut dalam melaksanakan tanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang negara termasuk menyelamatkan nyawa dan harta benda di laut.

Katanya, Zon Maritim Sandakan turut menjalankan kempen kesedaran keselamatan di laut bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran komuniti maritim tentang keselamatan semasa menjalankan aktiviti di laut.

“Sepanjang tahun 2024, Zon Maritim Sandakan telah melaksanakan sebanyak 173 Taklimat Pencegahan CARILAMAT (Preventive SAR).

“Sebanyak 152 dilakukan oleh aset yang berada di laut dan 21 lagi melalui taklimat yang dilakukan di sekolah dan pejabat Zon Maritim Sandakan dengan penglibatan melebihi 1,500 orang peserta pelbagai peringkat,”katanya.

Sementara itu, Suhairy berkata, sebanyak 57 orang dan RM3.21 juta harta benda berjaya diselamatkan sepanjang tempoh 2022 hingga 2024.

“Zon Maritim Sandakan sentiasa meningkatkan kawalan dan kesiagaan di laut bagi mengawal 9,435 km² keluasan Kawasan Tanggungjawab (KTJ) merangkumi panjang pantai 416.3 km bermula dari Pulau Jambongan sehingga ke Pulau Tambisan iaitu sepanjang perairan daerah Beluran, Sandakan dan Kinabatangan untuk memastikan perairan negara selamat dan aman kepada komuniti maritim,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan dan  merujuk ramalan kaji cuaca memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

“Selain itu, maklumkan destinasi dituju kepada ahli keluarga, membawa bekalan makanan secukupnya serta mengelakkan aktiviti di luar kawasan liputan telekomunikasi,” katanya.

Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan dan kemalangan di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau ke talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera. – SABAH MEDIA /FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

‘King Kong Kundasang’ curi tumpuan pengunjung EKSES 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular