HomeIsu tempatanKursus penternakan akuakultur bantu tingkat pendapatan komuniti di Kudat

Kursus penternakan akuakultur bantu tingkat pendapatan komuniti di Kudat

Read Time:2 Minute, 13 Second

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) terus komited terhadap usaha meningkatkan pendapatan komuniti setempat menerusi penganjuran Kursus Penternakan Akuakultur Pesisiran Pantai Bersama Komuniti Daerah Kudat baru-baru ini.

Menurut kenyataan dari IPMB, program tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) yang dianugerahkan kepada IPMB oleh Kementerian Pendidikan Tinggi pada tahun 2024.

“Kursus sehari anjuran Rakan Akuakultur IPMB dengan kerjasama erat bersama Jabatan Perikanan Sabah telah berjaya menarik seramai 35 orang peserta yang berasal dari daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas.

“Kursus ini antara lain bertujuan untuk mendedahkan komuniti di sekitar daerah Kudat kepada kepentingan dan pelbagai jenis aktiviti akuakultur yang boleh dilaksanakan di kawasan pesisiran pantai.

“Aktiviti ini bukan sahaja memberi peluang untuk meningkatkan pendapatan komuniti setempat tetapi juga berpotensi menjadi sumber pendapatan utama atau sampingan yang dapat meningkatkan ekonomi sara hidup keluarga,” demikian menurut kenyataan tersebut.

IPMB turut memaklumkan, menerusi kursus tersebut, peserta berpeluang untuk memahami lebih mendalam tentang cabaran yang dihadapi oleh penternak dan nelayan, serta mencari pendekatan yang lebih mampan dan berkesan dalam meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi mereka.

“Program ini turut berperanan dalam menyokong penyelidikan bertajuk “Sosio-Ekonomi: Menilai Impak Pemindahan Teknologi Akuakultur Kepada Komuniti” yang dijalankan oleh IPMB bagi menganalisis impak pemindahan teknologi akuakultur dalam meningkatkan kehidupan masyarakat di pesisiran pantai.

“Program ini diharap dapat memperkasakan kemahiran dan pengetahuan masyarakat setempat dalam bidang akuakultur, serta menyediakan peluang latihan yang relevan dengan keperluan semasa.

“IPMB khususnya, dan UMS secara amnya akan terus komited dalam memperkukuhkan pendidikan dan penyelidikan di negeri Sabah dengan memberikan sokongan yang padu kepada komuniti tempatan, terutamanya dalam usaha-usaha meningkatkan kualiti hidup mereka melalui pendekatan yang lebih inovatif dan mampan,” menurut kenyataan IPMB.

Dalam perkembangan lain, selain kursus tersebut, IPMB telah melaksanakan pelbagai program ke arah usaha memajukan kemahiran dan pengetahuan para peserta khususnya dalam industri akuakultur sepanjang tahun ini, antaranya Basic Aquaculture Management, Characterization and Immunology Profiling of Fish Blood  dan Basic Fish Parasite Identification.

“Dengan penekanan terhadap teknologi akuakultur yang lebih efisien, mampan, dan berdaya saing, IPMB komited untuk membantu mengatasi cabaran yang dihadapi dalam industri perikanan dan meningkatkan daya saing produk akuakultur tempatan di pasaran global.

“Melalui pendidikan dan penyelidikan yang terus diperbaharui, IPMB berharap dapat melahirkan lebih banyak inovasi dan inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti dan industri akuakultur secara keseluruhan.

“Ini merupakan langkah penting dalam mencapai pembangunan yang lebih mampan dan berdaya tahan dalam sektor perikanan di Malaysia.

IPMB telah diiktiraf sebagai salah sebuah HiCoE pada tahun 2024 atas pencapaian besar dalam bidang penyelidikan dan pendidikan tinggi negara, yang memberi pengiktirafan kepada usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan dalam bidang akuakultur khususnya berkaitan ikan kerapu hibrid dan ikan mameng.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

CSR UMS tingkat potensi ekonomi komuniti melalui pertanian berterusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular