Oleh NORMIMIE DIUN
TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau telah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup barang kawalan ke negara jiran dalam satu operasi di kawasan perairan laut Pelabuhan Tawau, semalam.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, operasi yang dijalankan pada jam kira-kira 3.33 petang itu telah menahan sebuah bot laju tempatan yang dikendalikan oleh seorang lelaki berusia 23 tahun.
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas bot tersebut menemui 35 tong gas yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran.
“Juragan bot tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit sah berkaitan barang kawalan daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM39,250.
“Suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Nazri menasihatkan orang awam agar tidak terlibat dalam aktiviti penyeludupan yang melanggar undang-undang.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan sedemikian,” tegasnya.