KOTA KINABALU: Tuduhan tidak berasas Bung Moktar Radin terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, disifatkan sebagai cubaan untuk mengelirukan rakyat demi agenda peribadi, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Menurut Nizam, tindakan tersebut bukan sahaja tidak mencerminkan realiti, tetapi juga gagal mengambil kira pencapaian luar biasa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Hajiji, yang telah membawa Sabah mencatat kutipan hasil negeri tertinggi dalam sejarah iaitu RM6.973 bilion pada tahun 2023.
Beliau juga menekankan pelaburan bernilai tinggi yang berjaya diraih oleh kerajaan negeri, termasuk pelaburan RM2.3 bilion oleh SK Nexilis yang menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan, pelaburan RM7.2 bilion oleh Kibing Group untuk industri solar yang membuka lebih 1,800 peluang pekerjaan baharu dan pelaburan dalam industri petrokimia oleh Ammonia Urea Sabah (SAMUR) yang mencipta lebih 1,000 peluang pekerjaan.
“Pencapaian ini membuktikan pengurusan ekonomi negeri yang bijaksana melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” tegas beliau dalam kenyataan medianya hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa tuduhan Bung Moktar hanyalah usaha untuk mengalihkan perhatian daripada kejayaan kerajaan negeri dalam menarik pelaburan besar yang telah mencipta ribuan peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah, di samping inisiatif lain seperti memperkasakan belia dan pembangunan luar bandar.
“Kita mesti menilai kerajaan berdasarkan fakta dan rekod pencapaian, bukan berdasarkan tohmahan yang bermotifkan kepentingan politik sempit,” tambah Nizam.
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus menyokong usaha kerajaan negeri yang fokus kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat tanpa terpengaruh dengan tuduhan tidak berasas.