HomeIsu tempatanPelajar KV Keningau Terpilih Sebagai ASEAN LIVE Creator for Change

Pelajar KV Keningau Terpilih Sebagai ASEAN LIVE Creator for Change

Read Time:1 Minute, 27 Second

KENINGAU — Ashraf Daniel bin Anuar, seorang pelajar tahun akhir dalam program Bakeri dan Pastri di Kolej Vokasional (KV) Keningau, telah mencipta sejarah apabila terpilih sebagai salah seorang daripada 20 pencipta kandungan ASEAN LIVE Creators for Change.

Program yang dianjurkan oleh ASEAN Foundation dengan kerjasama platform media sosial TikTok untuk mempromosikan isu-isu sosiobudaya yang relevan di rantau Asia Tenggara.

Ashraf bersama 19 belia lain dari pelbagai negara ASEAN akan menerima geran berjumlah USD 1,000 (kira-kira RM 4,000) serta bimbingan selama enam bulan bagi menghasilkan kandungan bersiaran langsung. Pengumuman rasmi mengenai senarai penerima geran dibuat di laman media sosial penganjur pada 16 Januari 2025.

Ashraf yang menghantar penyertaan video TikTok beberapa bulan lalu dengan memaparkan tiga aspek utama kebudayaan, iaitu tarian tradisional, makanan tradisional, dan karya seni.

Dalam video berdurasi hampir 60 saat itu, beliau mempersembahkan tarian etnik sambil memperagakan pakaian tradisional Bajau-Samah, iaitu kaum etniknya sendiri. Rakaman itu turut disertakan dengan klip pendek beliau menghasilkan karya seni dan memasak makanan tradisional.

Sebagai pelajar yang aktif dalam pelbagai bidang, Ashraf telah mewakili KV Keningau dalam pertandingan kemahiran dan persembahan tarian di peringkat tempatan. Beliau juga pernah menerbitkan puisi dalam sebuah majalah Bahasa Inggeris, membuktikan bakatnya yang pelbagai.

Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Encik Lumang Anak Lang, menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian Ashraf, yang dianggap sejajar dengan misi pendidikan negara. “Pencapaian ini mencerminkan keupayaan pelajar kita bukan sahaja sebagai pengguna kandungan digital yang bijak tetapi juga sebagai pencipta kandungan berkualiti yang relevan dengan arus perkembangan global,” katanya.

Dengan peluang yang diberikan melalui program ini, Ashraf dijangka akan terus memanfaatkan platform digital untuk mempromosikan budaya dan seni tradisional Malaysia ke peringkat antarabangsa. Hal ini bukan sahaja mengangkat nama KV Keningau, tetapi juga memartabatkan warisan budaya Malaysia di mata dunia.

RELATED ARTICLES
Utama

Gangguan Bekalan Air di Kota Kinabalu dan Tuaran pada 25 Februari

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular