Oleh Wan Azrain Adnan
Dalam beberapa hari yang lalu, Ahli Parlimen Beluran, yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia, telah menggesa kerajaan untuk mengawal-selia pengilang padi supaya harga belian padi tidak dimanipulasi. Gesaan ini susulan bantahan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) terhadap harga minimum belian padi yang ditetapkan pada kadar RM1,300/tan.
PeSAWAH mendakwa harga ini tidak adil memandangkan kos pengeluaran padi yang terus meningkat. Mereka mencadangkan kerajaan mengkaji semula kadar ini, yang ditetapkan pada tahun 2023, kerana ada pengilang yang menawarkan harga lebih tinggi di antara RM1,500 hingga RM1,800/tan.
Kos Pengeluaran yang Meningkat
PeSAWAH turut menyenaraikan kos-kos utama yang memberi tekanan kepada petani:
- Kos benih padi meningkat dua kali ganda sejak 2023.
- Kos membajak dan menuai bertambah akibat penghapusan subsidi diesel.
- Kos sewa tanah.
- Kos penyelenggaraan sawah seperti meracun, menabur, dan membaja.
Penetapan Harga Minimum dan Kegusaran Petani
Dalam Belanjawan Malaysia 2024, Menteri Kewangan mengumumkan kenaikan harga minimum belian padi dari RM1,200/tan kepada RM1,300/tan. Namun, kenaikan kecil ini dipersoalkan ramai kerana ia adalah semakan pertama sejak 2014. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) telah menafikan dakwaan PeSAWAH bahawa ada keputusan berkaitan harga minimum belian padi.
Masalah Kawalan Ketat Industri Padi dan Beras
Industri padi dan beras Malaysia dikawal ketat oleh kerajaan bagi memastikan harga mampu beli. Walau bagaimanapun, kegagalan menyemak harga siling secara berkala menyebabkan:
- Harga minimum belian padi hanya dinaikkan pada tahun 2023 selepas 10 tahun.
- Harga siling Beras Putih Tempatan (BPT) tidak berubah sejak 2008.
Cadangan Penyelesaian
- Semakan Berkala Harga Siling: Kerajaan mesti menyemak harga minimum belian padi dan harga siling BPT secara berkala agar sejajar dengan peningkatan kos pengeluaran.
- Pemansuhan Harga Siling: Mempertimbangkan pengapungan harga padi dan beras mengikut pasaran. Contohnya, pemansuhan kawalan harga ayam pada November 2023 menunjukkan hasil positif dengan harga yang stabil dan berpatutan.
- Peningkatan Pendapatan Petani: PeSAWAH mencadangkan penggabungan Beras Putih Tempatan (BPT) dan Beras Putih Import (BPI) dengan harga maksimum RM3.50/kg untuk mengelakkan eksploitasi.
Statistik Kemiskinan Petani Padi

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2022:
- Lebih 75% petani padi mempunyai pendapatan di bawah RM2,500/bulan (di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan).
- Lebih 55% petani padi memperoleh pendapatan bulanan di bawah RM1,500, iaitu di bawah kadar Gaji Minimum.
Penutup
Kerajaan mesti segera menetapkan harga minimum belian padi dan harga siling Beras Putih Tempatan (BPT) yang realistik dengan kos yang di hadapi oleh petani dan pengilang. Kedua-dua harga siling berkenaan mesti di semak secara bersama agar dapat memberi impak yang di kehendaki.
Sekiranya satu harga naik dan satu harga kekal sama, sudah pasti impaknya tidak dapat melonjakkan daya-saing industri padi dan beras negara.
Mungkin juga sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertimbang pemansuhan harga siling padi dan beras, serta mengapungkan harga-harga berkenaan mengikut pasaran. Seterusnya, kerajaan hanya perlu mengawasi harga yang di tetapkan oleh pasaran agar berada di tahap berpatutan dan mampu-beli.
Sebagai contoh. Bermula 1 November 2023, kerajaan telah memansuhkan kawalan harga ayam, di mana harga daging ayam di apung berdasarkan harga pasaran.
Sehingga kini, keputusan tersebut telah menghasilkan kejayaan, dengan laporan menunjukkan harga ayam stabil dan berpatutan, tidak melebihi harga siling sebelum ini.