Kota Kinabalu : Pelbagai pencapaian yang signifikan berjaya dihasilkan Kerajaan Sabah dalam tempoh empat tahun pentadbiran dibawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Naib Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Azrul Ibrahim berkata, ia termasuklah inisiatif bantuan dalam bidang pendidikan dan mencapai rekod kutipan hasil negeri tertinggi dalam sejarah bagi tempoh tiga tahun berturut-turut.
Selain kutipan hasil tertinggi katanya, Sabah juga berkata mencapai nilai perdagangan tertinggi, peningkatan kemasukan pelabur asing dan pertumbuhan ekonomi yang meyakinkan.
“Dalam tempoh empat tahun ini juga, pelbagai nikmat diperolehi rakyat baik dalam soal pendidikan (BUDI, BAKTI, BAGUS, BAIK dan lain-lain), pelaksanaan inisiatif untuk pelajar termasuk subsidi penerbangan sebanyak RM600 seorang (pelajar Sabah di Semenanjung, Sarawak dan Labuan), subsidi pengangkutan sebanyak RM300 seorang (pelajar Sabah dalam negeri) dan banyak lagi.
“Pertama kali dalam sejarah juga diperkenalkan inisiatif Sentuhan Kasih Rakyat dengan pemberian bantuan sebanyak RM300 sebulan selama 12 bulan kepada miskin dan miskin tegar di Sabah selain peningkatan dana pembinaan Rumah Mesra SMJ yang diberikan secara percuma kepada yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Azrul yang juga Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Kawang berkata, perancangan rapi kerajaan negeri dalam soal tenaga boleh diperbaharui akan dapat mengatasi gangguan bekalan elektrik serta air dalam tempoh tiga hingga lima tahun mendatang.
Katanya, ini menerusi pelaksanaan projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas dan round off river di Tenom, projek gas engine di KKIP dan Sipitang serta pelaksanaan solar farm di 15 kawasan seluruh negeri yang pasti menambah kapasiti grid bekalan elektrik seluruh Sabah, selain perancangan dan pelaksanaan loji rawatan air bagi memastikan bekalan air sentiasa memenuhi keperluan dan permintaan.
“Komitmen ini jelas menunjukkan kerajaan GRS memiliki keupayaan untuk membawa Sabah lebih maju pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Azrul berkata, sentimen serta naratif semasa akan memastikan GRS memiliki banyak kelebihan untuk dipilih oleh rakyat Sabah.
“Seharusnya rakyat Sabah menghantar signal jelas bahawa kita mahukan kesatuan. Dengan memilih kesatuan, kita mampu mewujudkan kestabilan negeri.
“Inilah formula ampuh bagi kita menjadikan Sabah lebih maju dan membangun,” katanya. – SABAH MEDIA