Kota Kinabalu : Penglibatan belia dan anak muda khususnya di negeri ini dalam pertandingan bertaraf dunia akan dapat mempertingkatkan daya kreativiti dan inovasi dalam kalangan remaja dan belia yang terlibat dalam aktiviti seni dan kebudayaan.
Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Fairuz Rendaan berkata, penglibatan diri atau komuniti dalam aktiviti yang dianjurkan juga akan dapat memperkayakan seni dan menyemarakkan lagi budaya masyarakat dan komuniti negeri Sabah.

“Ianya adalah seiring dan setanding dengan budaya negara yang lebih maju barulah kita dapat berbangga dengan seni dan budaya kita dan mampu bersaing di peringkat global.
“Kementerian Belia dan Sukan Sabah akan sentiasa menyokong sebarang aktiviti yang melibatkan belia dan anak muda termasuklah aktiviti belia yang berkesenian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Malaysia Qualifier Dance World Cup 2025 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah di sini semalam.

Fairuz berkata, keterusan dan kesinambungan seni dan budaya yang ada pada masyarakat negeri ini tidak akan dapat diteruskan tanpa adanya usaha mengembangkan dan mempromosikannya ke pentas dunia.
Katanya, pencapaian dan usaha Windbreeze Cultural Association mencerminkan usaha dan kesedaran betapa pentingnya kesatuan dan kesepakatan yang menjadi hasrat dan misi nasional.
“Ini kerana persatuan ini membuka ruang dan mencari penari yang bukan sahaja terdiri daripada anak-anak belia dari pelbagai latar belakang budaya bagi mewakili negara ini ke pertandingan bertaraf dunia.
“Pemilihan penari yang bukan berdasarkan kepada suku kaum, tetapi berdasarkan kemampuan, kredibiliti dan prestasi para penari adalah satu kunci bagi mencapai kejayaan dan pemilihan seperti ini boleh menjadikan Malaysia negara yang mampu memberikan saingan kepada negara-negara luar.
“Hasilnya kini negara kita mampu bergerak jauh ke hadapan dan memiliki pencapaian-pencapaian yang membanggakan,” katanya. – SABAH MEDIA