HomePendapatKuasa Wanita: Data dan Fakta yang Mencorakkan Malaysia

Kuasa Wanita: Data dan Fakta yang Mencorakkan Malaysia

Read Time:4 Minute, 32 Second

Secara keseluruhan, golongan wanita negara telah mencatatkan prestasi pencapaian yang semakin memberangsangkan. Malah, di dalam beberapa perkara, pencapaian wanita telah melangkaui lelaki dengan ketara.

Pada pertengahan bulan Disember 2023, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan Statistik Pemerkasaan Wanita Dalam Domain Terpilih Malaysia 2024. Antara lain, laporan ini menonjolkan pencapaian serta kedudukan wanita negara dari pelbagai aspek, seperti: penyertaan di dalam pasaran buruh, tahap pendidikan, peringkat jawatan serta gaji bulanan.

Sepanjang tempoh masa 4 dekad (1982 – 2023), Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) Wanita telah merekodkan trend peningkatan, dari 45.7% kepada 56.2%. Ini bermakna lebih ramai wanita menyertai pasaran buruh negara, dan bekerja bagi menyumbang kepada pembangunan negara.

Pada tahun 2023, selaras dengan peningkatan KPTB, jumlah wanita bekerja telah meningkat 6% dari 5.630 juta (2021) kepada 5.963 juta (2023). Berdasarkan tahap pencapaian pendidikan, majoriti pekerja wanita hanya memiliki pendidikan menengah (48.3%). Pada masa yang sama, ramai pekerja wanita memiliki pendidikan tertiari (43.6%), lebih tinggi dari peratusan pekerja lelaki (30.5%).

Apa yang agak membimbangkan adalah peratusan pekerja wanita yang memiliki pendidikan rendah telah merekodkan trend peningkatan: 4.9% (2021), 5.7% (2022), 6.0% (2023). Situasi ini wajar diteliti agar tidak merencatkan momentum kemajuan dan pencapaian wanita selama ini.

Sebagai perbandingan, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) Wanita Malaysia adalah agak setara dengan beberapa negara rantau ASEAN dan dunia. Tetapi lebih rendah dengan ketara berbanding Singapura (63.4%) dan Australia (62.6%).

Seterusnya, pada tahun 2023, data DOSM menunjukkan Purata Gaji & Upah Bulanan pekerja wanita adalah lebih rendah berbanding lelaki, di mana wanita (RM3,311) dan lelaki (RM3,532). Malah, dalam tempoh masa 3 tahun (2021 – 2023), purata gaji & upah pekerja wanita telah meningkat secara lebih kecil berbanding dengan purata Malaysia dan lelaki:

  • Malaysia: 12.9% (RM392), dari RM3,049 kepada RM3,441
  • Lelaki: 13.4% (RM418), dari RM3,114 kepada RM3,532
  • Wanita: 12.0% (RM356), dari RM2,955 kepada RM3,311

Lebih malang lagi, walaupun semakin ramai wanita menyertai pasaran buruh negara serta semakin ramai wanita memiliki pendidikan tertiari, jumlah wanita di peringkat atasan dan pembuat keputusan kekal rendah. Sebagai contoh, di dalam kepimpinan politik negara, jumlah dan peratusan wanita adalah seperti berikut (tahun 2023):

JawatanWanitaLelaki
Ahli Dewan Negara16.1%83.9%
Ahli Dewan Rakyat13.5%86.5%
Ahli Dewan Undangan Negeri72 orang528 orang
Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan682 orang2,780 orang
Menteri Kabinet16.1%83.9%
Timbalan Menteri Kabinet27.6%72.4%

Manakala, di dalam perkhidmatan awam negara, jumlah pegawai tertinggi wanita jauh lebih rendah berbanding lelaki, dan tiada perubahan sepanjang tempoh 2021 – 2023. Bagi jawatan Ketua Setiausaha, Timbalan Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah, pegawai wanita hanyalah 183 orang (28.2%), berbanding lelaki 467 orang (71.8%).

Situasi ini berlaku walaupun jumlah wanita di dalam perkhidmatan awam negara adalah sangat ramai, hampir mencecah 60%. Malah, di peringkat Pengurusan & Profesional, jumlah pegawai wanita (67.6%) adalah dua kali ganda lebih ramai daripada lelaki (32.4%).

Jawatan (tahun 2023)Wanita (%)Lelaki (%)
Keseluruhan59.3%40.7%
Pengurusan Tertinggi (Gred JUSA C ke atas)38.9%61.1%
Pengurusan & Profesional (Gred 41 – 54)67.6%32.4%
Pekerja Sokongan (Gred 1 – 40)52.9%47.1%

Dari aspek pendidikan dan kelayakan, wanita telah merekodkan pencapaian yang begitu memberangsangkan. Dalam tempoh masa 3 tahun (2019 – 2021), peratusan peningkatan profesional wanita (9.7%) adalah hampir sekali ganda lebih tinggi berbanding lelaki (5.3%):

TahunWanitaLelakiJumlah
2019111,622176,404288,026
2021122,444185,669308,113
Peningkatan10,822: 9.7%9,265: 5.3%20,087: 6.9%

Walaupun secara keseluruhan jumlah profesional wanita masih jauh lebih rendah berbanding lelaki, tetapi bagi beberapa profesion profesional, jumlah wanita telah pun melebihi lelaki, antaranya:

Profesion ProfesionalWanitaLelaki
Akauntan20,44317,291
Doktor Gigi8,8133,761
Doktor Perubatan32,40026,079
Doktor Veterinar1,253772
Peguam11,1949,190

Peningkatan besar jumlah profesional wanita tidaklah begitu memeranjatkan, memandangkan jumlah pelajar wanita melebihi lelaki di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara. Menurut data DOSM, bilangan enrolmen pendidikan tinggi untuk wanita kekal melebihi lelaki:

TahunJumlahWanita (%)Lelaki (%)
20211,207,59356%44%
20221,202,20257%43%
20231,247,90857%43%

Tambahan lagi, bilangan staf akademik di IPT juga merekodkan majoriti wanita (58%) berbanding lelaki (42%).

Menariknya, walaupun jumlah pelajar wanita jauh melebihi lelaki di IPT, bilangan wanita yang menjadi Ahli Majlis Perwakilan Pelajar di Universiti Awam adalah lebih rendah. Kenapa ini berlaku? Mungkin tidak ramai wanita yang berminat dengan aktiviti bukan akademik dan memegang jawatan kepimpinan, dan lebih fokus kepada pembelajaran sahaja.

Merujuk kepada Sabah, penduduk bekerja wanita berjumlah 1.017 juta, melebihi lelaki yang berjumlah 0.604 juta. Sabah merekodkan jumlah penduduk bekerja wanita ke-3 tertinggi di Malaysia, selepas Selangor (2.244 juta), Johor (1.369 juta). Ini merangkumi 10% daripada keseluruhan penduduk bekerja wanita di Malaysia (9.849 juta).

Di samping itu, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) Wanita Sabah adalah 69.7%, iaitu ke-2 tertinggi di Malaysia, selepas WP Putrajaya (79.2%). Malah, Sabah telah merekodkan KPTB Wanita lebih tinggi dari KPTB Wanita di Malaysia (56.2%).

Sementara itu, Sabah turut merekodkan Purata Gaji & Upah Bulanan pekerja wanita (RM3,118) yang setanding dengan lelaki (RM3,133). Namun begitu, ianya lebih rendah dari Purata Gaji & Upah Bulanan pekerja wanita negara (RM3,311).

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, di bawah Kerangka Ekonomi MADANI, Kerajaan Malaysia telah mensasarkan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) Wanita negara mencapai tahap 60% menjelang tahun 2025.

Samada sasaran ini dapat dicapai ataupun tidak, secara keseluruhan wanita negara telah merekodkan prestasi pencapaian yang boleh dibanggakan. Sekiranya momentum pencapaian ini disemarakkan, tidak mustahil wanita bakal menjadi peneraju utama agenda pembangunan negara.

RELATED ARTICLES
Utama

Cederakan ‘kekasih gelap’, dua wanita dikenakan PKW

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular