HomeUtamaGajah pygmy Borneo ditemui mati dipenggal, JHL diarah jalankan siasatan menyeluruh

Gajah pygmy Borneo ditemui mati dipenggal, JHL diarah jalankan siasatan menyeluruh

Read Time:1 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew, mengecam pembunuhan kejam seekor gajah pygmy Borneo yang ditemui mati tanpa kepala dan kaki berdekatan kawasan Maliau Basin di Kalabakan, Tawau pada Ahad (19 Jan).

Beliau meluahkan kebimbangan serius terhadap insiden mengejutkan itu dan menyifatkannya sebagai perbuatan tidak berperikemanusiaan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“Saya telah mengarahkan Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL) untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai penemuan anak gajah yang telah dipenggal itu.

“Siasatan sedang dijalankan. Sebaik sahaja jabatan tersebut memperoleh bukti yang mencukupi, kita tidak akan teragak-agak untuk mendakwa pelaku yang disyaki di mahkamah mengikut peruntukan Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Christina turut menyatakan kekesalan kerana walaupun kementeriannya melalui JHL berusaha sedaya upaya untuk melindungi dan memelihara populasi gajah yang semakin berkurangan di Sabah, masih ada individu tidak berhati perut yang merosakkan usaha pihak berkuasa.

Semalam media melaporkan Pengarah JHL Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar ketika dihubungi pemberita, mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, siasatan telah dimulakan untuk mengetahui punca sebenar kematian gajah tersebut dan satu laporan polis juga telah dibuat oleh Pejabat Hidupan Liar Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Sehubungan dengan itu, beliau memohon kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh terus menghubungi pihak JHL Tawau.

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular