Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan pagi tadi mengetuai Upacara Memperingati Mangsa-Mangsa Perang Petagas, di sini hari ini.
Beliau yang mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor tiba pada jam 8.30 pagi di Tugu Peringatan Petagas menerima tabik hormat dari 13 kontinjen unit beruniform termasuk Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejurus tiba di Taman Peringatan Petagas.

Selepas bertafakur selama 20 saat, Jeffrey mendahului upacara meletakkan kalungan bunga diikuti Ketua Pengarah DBKK Sr. Lifred Wong yang mewakili Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
Ia diikuti Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan, Datuk Dr. Jamili Nais wakil Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah serta wakil Setiausaha Persekutuan Sabah, Patrick Liang Ngau.
Turut serta dalam istiadat meletakkan kalungan bunga antaranya Komander Artileri Divisyen 5 Divisyen, Kolonel Saiful Nizam Che Soh, Komander Pangkalan Kota Kinabalu, Kepten Ahmad Sani Zakaria dan Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Kinabalu, ACP Cyril Edward Nuing yang mewakili Pesuruhjaya Polis Sabah.

Selain itu, turut meletakkan kalungan bunga Ketua Flait Tadbir PUKALUB Kota Kinabalu, Mejar Adi Sofian Md Yusof serta Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Kepten (Maritim) Boon Chin Chau.
Seramai tiga orang wakil ahli keluarga mangsa, Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu dan wakil Persatuan Veteran ATM Sabah tidak ketinggalan dalam upacara meletakkan kalungan bunga sebelum diakhiri dengan tiupan rouse.
Upacara Memperingati Mangsa-Mangsa Perang Petagas diadakan setiap 21 Januari bagi mendoakan kesejahteraan roh para pejuang pasukan Gerila Kinabalu yang terkorban dalam pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Jepun pada 21 Januari 1944 di Petagas.
Tugu Peringatan Petagas merupakan lokasi pembunuhan dan perkuburan ahli-ahli pasukan penentang tentera Jepun digelar Gerila Kinabalu terdiri daripada pemuda-pemuda pelbagai kaum di Sabah (North Borneo) seramai 324 orang yang diketuai oleh Albert Kwok.