Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut Datuk James Ratib memberi bayangan akan bertanding dan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Katanya, kawasan itu kini mula membangun dan telah dinaik taraf dari daerah kecil kepada sebuah daerah penuh dan memerlukan banyak perancangan untuk pembangunan pada masa akan datang.
“Saya memang mahu bertanding lagi untuk mempertahankan kerusi DUN Sugut pada PRN akan datang sekiranya diberi mandat oleh Ketua Menteri selaku Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
“Penaiktarafan ;Paitan kepada daerah penuh merupakan antara usaha saya dan juga daripada pihak pengurusan pejabat daerah kecil Paitan dahulu, jadi kita mempunyai perancangan dan sekiranya ada wakil rakyat yang baru di situ sudah pasti semua perancangan kita rancang itu mungkin akan terbantut dan tergendala.
“Itu sebabnya saya akan bertanding tidak semestinya akan datang saya jadi menteri atau sebagainya tapi yang penting di sini saya boleh menyumbangkan kepada daerah saya iaitu di Paitan, Sugut dan juga Sabah dan saya akan menyumbangkan satu kerusi untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kepada Ketua Menteri sekiranya dibagi peluang untuk menjadi calon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Amanat Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
James yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat yang kini memasuki penggal keempat sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan yakin dengan sokongan rakyat kepada GRS.
“Sokongan GRS di Sugut saya rasa mereka tidak ada pilihan lain sebab GRS ini adalah parti yang terbaik setakat ini kerana menggabungkan semua bangsa, semua agama ada dalam itu dan lebih-lebih lagi Ketua Menteri ini seorang pemimpin yang tidak mahu banyak cakap tetapi bekerja terus.
“Hanya kami yang tahu apa dia buat selama ini memang dia baik memang cukup baik untuk negeri Sabah sebab itu saya mengatakan tadi jangan terpedaya dengan perkara tukar yang dibuat oleh pihak pembangkang.
“Tujuan mereka itu hanya menumbangkan kerajaan yang ada pada hari ini kerana mereka sekarang ini cemburu dengan kejayaan-kejayaan yang kita buat. Jadi sebagai penjawat awam jangan terkeliru jangan terpedaya, kita sokong kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya. – SABAH MEDIA