KUALA LUMPUR — Bank Negara Malaysia (BNM) telah memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tahap 3% selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang berlangsung hari ini.
BNM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal menyokong ekonomi dan selaras dengan penilaian terkini terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan.
“Jawantankuasa ini akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” menurut kenyataan tersebut.
Tambah BNM lagi, ekonomi global menunjukkan pertumbuhan yang lebih tinggi pada tahun 2024, dipacu oleh pemulihan ekonomi utama dan perdagangan global yang kukuh. Walau bagaimanapun, risiko seperti ketidakpastian dasar dan sekatan perdagangan masih menjadi cabaran kepada kestabilan ekonomi global.
Bagi ekonomi Malaysia, BNM menjangkakan pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada tahun 2025, disokong oleh perbelanjaan domestik, pelaburan sektor awam dan swasta, serta peningkatan eksport hasil daripada kitaran teknologi global. Inflasi keseluruhan pada tahun 2024 berpurata 1.8% dan dijangka kekal terkawal pada tahun 2025.
Pendirian ini menunjukkan komitmen BNM untuk terus memantau perkembangan ekonomi bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan dan stabil.