Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah mula melaksanakan Program Kecemerlangan Pendidikan Pelajar (Pro-KePP) yang dikhaskan kepada anak-anak penerima bantuan kebajikan di negeri ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, program yang dilaksanakan itu antara lain adalah bagi membantu anak-anak penerima bantuan yang berpotensi untuk dibantu dalam bidang akademik.

“Pro-KePP ini dilaksanakan dengan objektif sebagai suatu bentuk motivasi bagi meningkatkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum serta mengekalkan tahap disiplin yang tinggi.
“Selain itu, program ini juga adalah bagi mewujudkan seorang graduan bagi setiap keluarga penerima bantuan kebajikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Pro-KePP dan Majlis Amanat Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.
James berkata, Pro-KePP turut memberi peluang kepada keluarga untuk sama-sama bertanggungjawab meningkatkan taraf hidup ahli keluarga.
Katanya, program itu turut memberi peluang kepada anak-anak yang berpotensi dalam pelajaran bagi meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Bagi pelaksanaan fasa pertama, program ini dimulai dengan pemilihan seramai 104 pelajar dari pelbagai peringkat pengajian iaitu menengah rendah, menengah atas dan peringkat pengajian tinggi yang telah melepasi kriteria.
“Kadar bantuan adalah berjumlah RM10,000 sehingga RM3,000 berdasarkan kategori peringkat pengajian akan disalurkan secara berasa mengikut penggal atau semester pengajian dengan kaedah pengkreditan terus ke akaun pelajar.
“Kita percaya bahawa ilmu adalah aspek penting untuk pembangunan sesebuah institusi keluarga yang membolehkan mereka keluar dari kelompok kemiskinan dan seterusnya meningkatkan taraf hidup,” katanya. – SABAH MEDIA