KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani dalam Mesyuarat Kabinet hari ini telah bersetuju untuk memberikan potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2025.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada Syarikat Konsesi Tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08 juta.
Katanya, pemberian ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah sekian kalinya diberikan oleh Kerajaan Madani bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023.
“Sepanjang tempoh tersebut, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan dari 2023 hingga 2024.
“Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50% sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 selaras dengan agenda Kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh kedudukan kewangan Kerajaan yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan.
Menurut Alexander, keputusan memberikan diskaun 50 peratus dari kadar biasa tol ini akan dilaksanakan bermula pada jam 12.01 tengah malam 27 Januari 2025 (Isnin) dan akan berakhir pada Jam 11.59 malam 28 Januari 2025 (Selasa) bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkanpengurangan kadar tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa cuti panjang ini,” katanya.
Alexander turut menyarankan pengguna untuk memuat turun aplikasi MYPLUS-TTA di PLUS App untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan dan meningkatkan aspek keselamatan semasa pemanduan. Pengguna juga dinasihatkan untuk mematuhi arahan papan tanda dan maklumat di Variable Message System (VMS) sepanjang perjalanan.
Bagi mereka yang menggunakan lorong Smart Lane, pengguna diminta untuk memberikan isyarat awal sebelum memasuki lorong tersebut dan peka terhadap keadaan sekeliling semasa memandu.
Pengguna lebuh raya digalakkan untuk menyemak status trafik terkini melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Facebook (Lembaga Lebuhraya Malaysia), aplikasi X (@LLMtrafik), dan TikTok (@llmtrafik). Maklumat trafik juga boleh diperoleh melalui Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 atau laman sesawang LLM di https://www.llm.gov.my.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai keadaan trafik, pengguna juga boleh melayari WhatsApp Channel LLM Info Trafik.