HomeUtama1,500 kamera litar tertutup mula dipasang sekitar bandaraya Kota Kinabalu

1,500 kamera litar tertutup mula dipasang sekitar bandaraya Kota Kinabalu

Read Time:2 Minute, 4 Second

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mula melaksanakan pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) sebanyak 1,500 unit bagi fasa pertama bermula tahun ini.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, langkah itu adalah bagi mempertingkatkan lagi keselamatan kawasan perkadaran DBKK.

Katanya, pemasangan itu meliputi kawasan strategik seperti pusat bandar, kawasan komersial, perumahan, dan kawasan pantai.

“Projek ini merupakan kerjasama antara DBKK dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi meningkatkan tahap keselamatan dan pengawasan bandaraya ini melalui pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) pintar.

“Inisiatif ini akan memperkukuh keselamatan penduduk tempatan dan pelancong, sekali gus mewujudkan persekitaran bandaraya yang lebih selamat.

“Pemasangan CCTV pintar ini dilengkapi teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) yang mampu memantau aktiviti di kawasan berisiko tinggi secara real-time.

“Dengan keupayaan ini, kita dapat mengenal pasti kejadian jenayah seperti kecurian kabel elektrik dan kerosakan awam, serta mengambil tindakan pantas untuk mengatasinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media Majlis Kupi-Kupi Mayor Bersama Media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Sabin berkata, dengan adanya peralatan tersebut ia turut memudahkan pihak keselamatan untuk memantau lokasi tumpuan umum seperti Teluk Likas, kawasan pantai, serta beberapa kawasan perumahan dalam menangani isu kecurian dan kerosakan harta benda.

“Sistem ini akan disokong oleh sebuah pusat kawalan yang akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keberkesanan tindakan dan operasi pemantauan,” katanya.

Sementara itu, Sabin juga turut menekankan kepentingan usaha ini dalam mewujudkan keyakinan pelancong dan pelawat terhadap aspek keselamatan di Kota Kinabalu.

Beliau percaya bahawa pengawasan yang lebih baik akan memperkukuh imej bandar raya sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

“Pelaksanaan ini akan memastikan pelawat merasa lebih selamat selain membantu meningkatkan reputasi Kota Kinabalu di peringkat global.

“Walaupun dana untuk keseluruhan projek masih dalam peringkat perbincangan, komitmen daripada pihak MCMC dan DBKK memberi harapan bahawa pelaksanaan projek dapat berjalan lancar mengikut jadual.

“Setiap fasa pemasangan bergantung kepada sumber dana yang disalurkan dan bagi fasa pertama, kita memberi tumpuan kepada kawasan utama di sekitar pusat bandar dan kawasan yang berisiko tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Sabin berkata, selain meningkatkan pengawasan, DBKK turut mempergiatkan usaha pendidikan kepada warga bandaraya agar lebih bertanggungjawab dan peka terhadap penjagaan kebersihan persekitaran.

“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan terhadap mereka yang melanggar peraturan, termasuk mengenakan kompaun RM30 kepada mana-mana individu yang membuang sampah secara haram yang menjejaskan kebersihan dan imej bandaraya,” katanya.

Sabin turut menyeru semua pihak termasuk penduduk dan pengunjung agar terus bekerjasama dalam menjayakan inisiatif tersebut.

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Musa adakan lawatan singkat ke Brunei Darussalam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular