HomeUtamaLima kes keracunan makanan disyaki toksin ikan buntal dilaporkan di Sabah

Lima kes keracunan makanan disyaki toksin ikan buntal dilaporkan di Sabah

Read Time:2 Minute, 7 Second

Kota Kinabalu : Sebanyak lima kes kejadian keracunan makanan dilaporkan berlaku di Sabah disyaki berpunca daripada toksin ikan buntal atau ‘pufferfish’ pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Maria Suleiman berkata, dari jumlah itu, satu kes dilaporkan berlaku di Kota Kinabalu dan empat lagi membabitkan satu keluarga di Kota Marudu.

Katanya, bagi kes yang dilaporkan di Kota Kinabalu, ia berlaku pada 10 Januari lalu, manakala di Kota Marudu berlaku pada 24 Januari 2025. 

“Semua kes yang berusia antara 15 hingga 48 tahun, melaporkan gejala pening, muntah, cirit-birit, kebas pada tangan dan kaki, serta kesukaran bernafas, selepas memakan ikan buntal yang dibeli daripada pasar setempat dan dimasak sendiri.

“Kesemua kes telah mendapatkan rawatan awal di hospital. Daripada lima kes yang dilaporkan, tiga kes telah dibenarkan pulang setelah mendapatkan rawatan, manakala dua kes masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil. 

“Tindakan kawalan dan pencegahan telah dilaksanakan oleh JKNS, termasuk pendidikan kesihatan kepada individu-individu terlibat dan komuniti setempat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mesej tular di media sosial pada 10 Januari  dan 24 Januari lalu mengenai kejadian keracunan makanan yang disyaki berpunca daripada toksin ikan buntal yang berlaku di Sabah.

Dr Maria berkata, ikan tersebut merupakan spesies ikan yang mengandungi toksin saraf (neurotoksin) yang dikenali sebagai tetrodotoksin (TTX). 

Selain ikan buntal katanya, TTX juga terdapat dalam beberapa spesies laut seperti belangkas (horseshoe crab) dan siput laut (Naticidae, Nassariidae), serta haiwan amfibia lain seperti katak beracun.

Menurutnya lagi, pencemaran TTX dalam makanan tidak dapat dikesan dengan mata kasar kerana tiada perubahan warna, bau, dan bentuk terhadap makanan yang tercemar.

“Individu yang memakan makanan yang mengandungi TTX boleh mengalami gejala keracunan seawal 10 hingga 45 minit. Tanda- tanda keracunan ini termasuk kebas pada bibir, lidah, dan muka, sakit kepala, pedih ulu hati, loya, cirit-birit atau muntah, serta kelumpuhan otot penting seperti otot pernafasan. 

“Dalam kes yang teruk, kematian boleh berlaku dalam tempoh 6 hingga 24 jam. 

“JKNS ingin menasihati orang ramai agar mengelakkan pengambilan makanan yang  disyaki   mengandungi   TTX   kerana ia boleh membahayakan kesihatan. 

“Jika mengalami gejala awal keracunan, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan,” katanya.

Dalam pada itu, Maria berkata, bahan pendidikan mengenai bahaya TTX, termasuk risiko keracunan dan langkah-langkah pencegahan, boleh didapati di laman web Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan laman media sosial Facebook KKM.

Menurutnya lagi, JKNS akan terus memantau situasi ini dan memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Media pikul tanggungjawab didik rakyat sebar luas maklumat benar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular