Kota Kinabalu : Pandangan dan cadangan yang dikemukakan mahasiswa dan pelajar melalui Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) akan diambil perhatian oleh Kerajaan Negeri Sabah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, MPPS yang memasuki edisi ketiga tahun ini juga dilihat berupaya menjadi platform terbaik untuk mahasiswa dan pelajar menyuarakan pandangan secara terus kepada Kerajaan.

Katanya, ia meliputi pelbagai isu dan aspirasi rakyat, antaranya pendidikan, kerjaya, ekonomi, pelancongan, alam sekitar dan isu-isu berkaitan pembangunan negeri Sabah.
“Kita memetik semua input yang mereka kemukakan kerana sangat penting dan kita ambil maklum dan mana yang boleh kita laksanakan, kita laksanakan dan mana yang sudah kita laksanakan, kita akan tambah baik.

“Inilah yang dimaksudkan oleh Ketua Menteri bahawa mahasiswa adalah modal insan yang sangat penting untuk memperkasa hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmiaan dan Penutupan MPPS Edisi ketiga di sini baru-baru ini.
Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama turut merakamkan penghargaan kepada pihak Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) serta Jabatan Ketua Menteri Sabah atas usaha menganjurkan program ini selama tiga tahun berturut-turut.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada IKRAR dan Kementerian Belia dan Sukan yang telah menyelaras program ini dengan jayanya.
“Ini adalah edisi ketiga pada tahun ketiga, tahun pertama dilancarkan oleh Ketua Menteri dan beliau sendiri mengupas dan mengambil maklum semua cadangan daripada kluster-kluster yang telah ditetapkan,” katanya. – SABAH MEDIA