PUTATAN: Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya memaklumkan bahawa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) berusaha keras untuk menangani isu bekalan air dengan menstabilkan tekanan air di negeri ini, namun cabaran yang dihadapi berbeza mengikut kawasan.
“Sebagai contoh, di sekitar Kota Kinabalu baru-baru ini, hujan lebat telah menyebabkan beberapa kawasan, seperti Telibong, Kasigui, mengalami banjir yang menenggelamkan kawasan pengambilan air (water intake). Proses pemulihan memerlukan masa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan Walkabout Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2025 di Putatan dan Tanjung Aru di sini, hari ini.
Beliau turut menjelaskan cabaran lain seperti kerosakan pam, paip lama yang pecah akibat kerja-kerja pembinaan, serta tekanan air yang tidak stabil.
Katanya, untuk mengatasi masalah ini, Jabatan Air telah diingatkan agar lebih proaktif dalam kerja-kerja penyelenggaraan bagi mengurangkan gangguan bekalan air.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri lll turut berkongsi perkembangan beberapa projek utama seperti Loji Rawatan Air Telibong 2, Fasa 2, projek ini telah siap pada akhir 2023. Namun, paip baru yang menyalurkan air dari Telibong 2 ke Sepanggar masih dalam pembinaan dan dijangka siap Julai 2025.
“Jadi apabila siap kelak, maka kapasiti tambahan itu akan dapat dioptimalkan. Begitu juga di kawasan Putatan, di mana pihak Jetama sedang menyiapkan Urgent Water Supply Scheme, loji baharu berkapasiti 5 juta liter sehari (MLD). Ia dijangka siap dalam April-May tahun ini. Maka jika ianya siap, ada pertambahan 5 MLD untuk kawasan sekitar Putatan.
“Manakala Loji Rawatan Air Kogopon 2 di Papar, projek ini masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2026, yang bakal meningkatkan kapasiti air terawat untuk kawasan Papar Utara dan Putatan Selatan,” katanya.
Justeru, Shahelmey berkata untuk memastikan kelestarian bekalan air bagi tempoh lebih 50 tahun, kerajaan sedang memuktamadkan isu kewangan berkaitan pembinaan empangan Ulu Padas Hydropower.
“Empangan ini bukan sahaja untuk tenaga hidro, tetapi juga akan menjadi sumber air mentah bagi kawasan Kimanis, Papar, dan Putatan.
“Dengan pelaksanaan projek-projek ini, masa depan bekalan air kelihatan sangat cerah. Namun, langkah segera juga perlu diambil untuk menangani gangguan jangka pendek,” tegasnya.