Tuaran: Kerajaan negeri Sabah akan terus bekerjasama dengan Persekutuan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan prestasi bekalan elektrik di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini termasuk inisiatif yang dirangka berdasarkan kuasa kawal selia oleh Energy Commission of Sabah (ECoS) dalam Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).
“Walaupun kuasa kawal selia bekalan elektrik Sabah telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri, saya berharap agar kerjasama di antara kedua-dua pihak tetap utuh dengan menunjukkan kesepakatan dan komitmen yang tinggi bagi memberikan kemudahan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program Sabah Electricity bersama Komuniti, Rumah Terbuka Krismas 2024 dan Tahun Baharu 2025 di Dewan Seri Sulaman, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan turut dihadiri Pengerusi Sabah Electricity Datuk Seri Madius Tangau.
Hajiji berkata, antara usaha yang dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri adalah pengecualian surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh enam bulan bermula 1 Januari hingga Jun ini.
“Subsidi sebanyak RM50.9 juta diperuntukkan kepada pengguna domestik yang layak dan pengguna bukan domestik dalam kategori tarif voltan rendah yang terdiri juga dari golongan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Faktor utama masalah bekalan elektrik di negeri ini tidak hanya berkaitan dengan masalah kekurangan kapasiti penjanaan tetapi ditambah dengan kenaikan beban pengguna akibat pertumbuhan ekonomi yang pesat.
“Justeru, Kerajaan negeri akan memberikan fokus kepada usaha memastikan Pelan Pembangunan Penjanaan jangka pendek berjaya dilaksanakan bagi mencapai jidar simpanan kapasiti penjanaan ke tahap 30 peratus,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata, bagi memastikan kejayaan ini dan menambahbaik situasi bekalan elektrik di Sabah, Kerajaan Negeri melalui ECoS akan terus bekerjasama dengan Sabah Electricity dalam memudah cara dan memberikan sokongan bagi melaksanakan Pelan Transformasi Sabah Electricity.
Katanya, kerajaan GRS-PH memberi layanan yang sama rata kepada setiap rakyat di negeri ini tanpa memikirkan perbezaan agama, kaum dan juga etnik.
“Inilah bukti keprihatinan dalam pentadbiran kerajaan GRS-PH. Oleh itu, saya berharap sempena majlis pada hari ini, kita rapatkan persaudaraan, perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama khususnya di negeri ini.
“Dalam pada itu, sebagai sebuah negeri yang berbilang kaum, kita amat bertuah kerana dapat menyambut pelbagai perayaan yang ada di negara ini.
“Krismas yang baru dirayakan oleh masyarakat Kristian pada bulan Disember lalu, manakala Tahun Baharu Cina yang akan disambut masyarakat Tionghua dalam beberapa hari lagi, menunjukkan betapa negara ini menghargai dan menghormati setiap perayaan yang ada di negara ini,” katanya.
Beliau turut berharap agar amalan berkongsi perayaan dan menghormati perayaan kaum-kaum lain serta tradisi kunjung mengunjung di musim perayaan ini perlu diteruskan supaya kekal menjadi identiti masyarakat Malaysia yang unik lagi harmoni. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH