Oleh Amidi bin Abdul Manan
Pengarah Eksekutif, IDE Research Centre
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof. Mohamad Yunus di World Economic Forum, Davos, Switzerland, baru-baru ini mengenai Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) merupakan bukti hidup komitmen Perdana Menteri X dalam mengangkat martabat kumpulan rentan miskin di Malaysia.
Kisah perjuangan ini telah bermula lama dahulu, pada tahun 1974, apabila Perdana Menteri X, ketika itu seorang pemimpin mahasiswa, memimpin demonstrasi di Baling untuk membela nasib pekebun kecil getah yang dihimpit kejatuhan harga getah. Perjuangan ini menjadi lambang awal komitmen beliau terhadap keadilan sosial dan pengentasan kemiskinan.

Prof. Mohamad Yunus, melalui Grameen Bank di Bangladesh, telah berjaya membantu ribuan orang keluar daripada kemiskinan tegar dengan memberikan pinjaman mikro-kredit serta bimbingan mingguan. Kejayaan ini telah membawa beliau meraih Anugerah Nobel.
Pada tahun 1987, ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjawat jawatan Menteri Pendidikan, beliau mengarahkan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengkaji kesesuaian konsep Grameen Bank di Malaysia. Kajian yang diketuai oleh Prof. Dr. Shukor Kassim dan Dr. Gibbon ini akhirnya membawa kepada penubuhan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), yang menjadi instrumen penting dalam usaha membasmi kemiskinan melalui pendekatan mikro-kredit.
Lebih awal lagi, pada tahun 1985, ketika menjawat jawatan Menteri Pertanian, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan Pasar Tani sebagai langkah memerangi penindasan orang tengah terhadap petani miskin di luar bandar. Inisiatif ini menunjukkan kesungguhan beliau dalam membela golongan rentan di negara ini.
Dalam bukunya Membangun Negara Madani, yang diterbitkan pada tahun 2022, Perdana Menteri X memberikan takrifan unik tentang konsep ihsan:
“…perasaan ihsan itu adalah soal menyelami penderitaan dan kemelaratan orang lain, lalu berusaha untuk mencari jalan bagi mengubatinya.”
Kini, beliau terus memimpin perjuangan melawan kartel dan membetulkan semula struktur ekonomi yang rosak akibat manipulasi pihak yang menindas rakyat. Kerangka MADANI, seperti yang dinyatakan dalam buku tersebut, merupakan hasil pengalaman empat dekad dalam perkhidmatan awam dan belasan tahun renungan mendalam tentang masa depan Malaysia.
MADANI bukan sekadar slogan. Ia adalah manifestasi taat setia dan kasih sayang seorang pejuang terhadap negara dan rakyatnya.
Seperti yang pernah beliau ungkapkan:
“Kerangka MADANI adalah puncak kepada perjalanan panjang memahami, melindungi, dan memperbaiki kehidupan rakyat demi masa depan yang lebih cerah.”
Maka, visi dan perjuangan ini adalah tanda jelas kasih seorang pemimpin kepada negaranya, Malaysia.