Sook : Penaiktarafan daerah Sook sebagai daerah penuh akan memberi kemudahan kepada penduduk setempat untuk mendapat perkhidmatan yang lebih baik seperti daerah-daerah lain di negeri ini.
Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, daerah itu secara rasmi telah diwartakan Kerajaan sebagai daerah penuh pada 7 Ogos 2024.
“Dengan status daerah penuh, sudah tentu pihak kerajaan akan memberikan peruntukan pembangunan yang lebih banyak berbanding jumlah peruntukan yang diberikan sebelumnya.
“Ini secara tidak langsung akan mempercepatkan lagi proses pembangunan lestari daerah Sook dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2025 selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook di Kampung Biah Tengah di sini semalam.
Ellron berkata, terdapat banyak projek yang berjaya dilaksanakan pada tahun lalu khususnya di daerah Sook.
Katanya, ia termasuklah menaik taraf jalan-jalan kampung, jalan-jalan pertanian, menyelenggara jambatan konkrit dan jambatan gantung, menaik taraf rumah-rumah ibadat serta penyediaan kawasan riadah seperti pembinaan gelanggang sukan dan permainan termasuklah Gelanggang Serba Guna 3 Dalam 1.
“Kita juga telah membantu penduduk dalam daerah Sook yang kurang berkemampuan memiliki rumah kediaman melalui Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Program ini akan terus dilaksanakan pada tahun ini. Kesemua program yang dinyatakan tadi adalah untuk memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk sekitar daerah Sook terus terjaga dan mendapat pembelaan sewajarnya.
“Terbaharunya, saya telah meluluskan kerja-kerja pembersihan lot-lot rumah di Kg. Ansip Laut dan Kg. Singgah Mata dalam daerah Sook seluas 23 ekar.
“Kerja-kerja pembersihan hampir siap dan diharapkan perkampungan ini nanti akan menjadi perkampungan yang lebih lebih tersusun cantik dan indah,” katanya. – SABAH MEDIA