Kota Kinabalu : Penganjuran Ekspo Semarak Emas Sabah (EKSES) 2025 yang berlangsung selama tiga hari berakhir semalam berjaya menggalakkan penglibatan golongan warga emas dalam bidang keusahawanan dari seluruh Sabah.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, program EKSES itu juga amat unik dan menarik di samping memberi peluang kepada warga emas dalam menjana ekonomi setempat.

“Selain menjana perekonomian lebih 80 usahawan yang terlibat, pada masa sama memberi ruang kepada warga emas untuk berinteraksi melalui aktiviti yang disusun khas untuk mereka seperti yang kita nampak sendiri hari ini.
“Terima kasih kepada Jabatan kebajikan Masyarakat Sabah kerana menyokong program ini yang melibatkan ahli-ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) kawasan dan seluruh negeri, tahniah atas kejayaan menghimpun sebahagian besar warga emas dari seluruh Sabah melalui program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penutupan EKSES 2025, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.
Shahelmey berkata, program itu juga adalah satu daripada inisiatif ataupun usaha untuk mengaktifkan golongan warga emas di usia tua.

“Jadi kita berharap program seperti ini akan sentiasa mendapat sambutan serta diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya
Katanya, kebersamaan dalam menjayakan program tersebut membuktikan komitmen semua pihak merancakkan aktiviti golongan warga emas yang amat penting bukan sahaja untuk merangsang ekonomi tetapi juga membantu dalam menjaga kesihatan badan juga mental.
Program tiga hari anjuran Pertubuhan Semarak Emas Sabah (PEMAS) dan Persatuan wanita Berniaga (PEWAGA) itu menghimpunkan lebih 3,000 pengunjung dan memberi impak positif kepada semua peserta.