Kudat : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya mematahkan cubaan menyeludup petrol ke negara jiran, semalam.
Pengarahnya, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bertindak atas maklumat perisikan, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan operasi rondaan telah diatur gerak ke lokasi dan mengesan sebuah bot pump bergerak dalam keadaan mencurigakan di posisi lebih kurang 1.5 batu nautika Barat Laut daripada Pulau Langdayang, Pitas, pada jam 3 pagi hari kejadian.
“Ketika bot ronda cuba menghampiri untuk pemeriksaan, terdapat dua orang suspek telah bertindak terjun ke laut cuba melarikan diri, namun seorang suspek telah berjaya ditahan semula, manakala seorang lagi berjaya melarikan diri ke daratan berhampiran.
“Pemeriksaan lanjut terhadap bot suspek telah menemui lebih kurang 12 tong drum biru dipercayai berisi bahan api petrol.
Suspek yang ditahan berusia 34 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Hasbullah berkata, suspek dan bot serta kargo diiring masuk ke Jeti Marina Kudat dan diserahkan kepada Pegawai Siasatan Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan bernilai lebih kurang RM20,000 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imegresen 1959/63.
“Zon Maritim Kudat menyeru kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat, Kota Marudu dan Pitas untuk sama – sama membantu.
“Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam,”‘ katanya. – SABAH MEDIA