Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggariskan tujuh lensa utama yang relevan dan bersinergi dengan keperluan era moden pada tahun ini.
Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Mohd Kasim Mansur berkata, ia adalah selaras dengan fokus yang dinyatakan Menteri Pendidikan Tinggi menerusi amanat yang diberikan baru-baru ini.
Katanya, ia termasuklah melaksanakan integrasi modul teknologi maklumat dalam Program Keusahawanan Teknologi yang merupakan nadi yang menggerakkan masa depan, terutamanya dalam dunia keusahawanan yang semakin berorientasikan digital.

“Justeru itu, saya menyarankan Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan (CEDEC) memikul tanggungjawab dalam memastikan modul Teknologi Maklumat (IT) diintegrasikan ke dalam program keusahawanan universiti.
“Melalui pengintegrasian ini, kita dapat membentuk usahawan digital yang bukan sahaja memahami prinsip perniagaan, tetapi juga cekap dalam memanfaatkan teknologi seperti e- dagang, big data, dan pemasaran digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Naib Canselor 2025 di Dewan Canselor UMS di sini hari ini.
Kasim berkata, pendekatan itu juga selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membangunkan bakat yang bersedia menghadapi landskap ekonomi yang semakin mencabar dan berteknologi tinggi.
Katanya, UMS juga apa melaksanakan Integrasi Modul AI dalam Kurikulum Universiti yang bukan sekadar tambahan, tetapi keperluan strategik untuk membekalkan mahasiswa dengan kemahiran seperti machine learning, analitik data, dan automasi— kemahiran yang menjadi asas kepada pekerjaan masa depan.
“Ketiga adalah merupakan kolaborasi strategik UMS bersama Industri @ Industry on Campus. Kolaborasi dengan pihak industri adalah langkah strategik dalam memastikan pelajar mendapat pendedahan kepada teknologi terkini.
“Keempat adalah Program Akademik dan Kursus Baharu bagi memenuhi keperluan masa depan, UMS telah mulai membangunkan program baharu seperti Sarjana Muda Sains Teknologi Maritim dan Sarjana Muda Sains Teknologi Pertanian,” katanya.
Sementara itu, Kasim berkata, UMS juga akan turut melaksanakan pemerkasaan Program Aliran Sains Terpilih yang akan di sesuaikan dengan konteks semasa.
Katanya, UMS juga akan turut melaksanakan pemerkasan Bakat Kepimpinan Mahasiswa di mana mahasiswa adalah aspek penting dalam melahirkan generasi pemimpin masa depan.
“Dan yang terakhir adalah inisiatif bagi meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa adalah melalui pelbagai langkah strategik. Sebagai contoh Program MyCare menyediakan bantuan kewangan RM250 untuk meringankan kos sara hidup pelajar,” katanya.
Terdahulu, seramai 3,888 kakitangan dan pelajar menghadiri majlis berkenaan. – SABAH MEDIA