Kota Kinabalu : Pengguna jalan raya terus diingatkan agar sentiasa memandu dengan penuh berhemah dan berhati-hati sama ada hendak balik ke kampung atau ke destinasi dituju bagi mengelak berlaku kemalangan pada musim perayaan ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, peringatan itu sering diuar-uarkan oleh pihak berkuasa keselamatan di negara ini.
“Sempena dengan Tahun Baru Cina ini, saya tahu ada antara masyarakat kita yang ‘Aramaiti’ di musim perayaan, namun saya berharap agar mereka memandu secara berhemah dan fikirkan pemandu kenderaan yang lain.

“Ini adalah agar kita dapat mengelakkan sebarang kecelakaan berlaku di jalan raya. Saya tahu ada penduduk di Kota Kinabalu akan balik ke kampung masing-masing, pandulah dengan berhati-hati dan cermat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Tamu Besar Tahun Baharu Cina 2025 di Pasar Malam Jejantas Segamat di sini semalam.
Hadir sama Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
Sambutan Tamu Besar Tahun Baharu Cina yang dianjurkan Kerajaan negeri melalui Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu adalah sebagai usaha memperkukuhkan perpaduan sedia ada di kalangan masyarakat setempat.

Abidin berkata, ia juga merupakan usaha serta langkah proaktif berterusan bagi membantu merancakkan lagi aktiviti sosioekonomi di kalangan komuniti masyarakat di negeri ini.
Katanya, program berkenaan bukan sahaja dilihat penting hanya kepada kaum Tiong Hua, namun turut disambut meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum.
“Satu keunikan di negeri Sabah yang tidak terdapat di mana-mana tempat ini, Jadi ini juga menunjukkan bahawa adanya keharmonian, kesatuan, kefahaman di antara satu dengan lain.
“Pertama sekali, masyarakat majmuk di negeri Sabah dan kita berharap tradisi ini diteruskan bila-bila masa, bukan sahaja untuk kepentingan dan masyarakat yang sekarang tetapi juga di masa hadapan.
“Ini yang penting sekali, tunjukkan bahawa negeri Sabah ini adalah satu negeri walaupun ia mempunyai keturunan yang berbeza dari segi agama, dari segi keturunan tetapi kita memahami kebudayaan kita di antara satu dengan lain,” katanya.
Dalam pada itu, Sabin turut berkata program berkenaan turut membuka peluang perniagaan kepada 626 peniaga kecil terdiri 609 penjaja dan 17 food truck.
Katanya, bagi menjamin keselesaan bersama, para peniaga serta pengunjung turut diingatkan agar sentiasa menjaga kebersihan persekitaran tapak sepanjang tamu berlangsung. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK