HomeUtama'Singa menari' di KKIA, sambut ketibaan pelancong sempena Tahun Baru Cina

‘Singa menari’ di KKIA, sambut ketibaan pelancong sempena Tahun Baru Cina

Read Time:1 Minute, 39 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu: Persembahan istimewa tarian singa sempena sambutan Tahun Baru Cina 2025 berjaya menarik perhatian pengunjung termasuk pelancong domestik dan antarabangsa yang baru tiba di negeri ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini petang tadi.

Pelancong yang tiba disambut Pengarah Tourism Malaysia Sabah Haryanty Abu Bakar; Pengurus Operasi Malaysia Airports Sdn Bhd Hashim Duman dan Pengurus Pemasaran Lembaga Pelancongan Sabah Bobby Alex @ William.

Haryanty ketika ditemui berkata, sambutan yang diadakan itu merupakan salah satu usaha bagi mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

“Tourism Malaysia hari ini berbesar hati untuk berkongsi pengalaman dalam menyambut Tahun Baru Cina di KKIA dengan pemberian simbolik limau mandarin kepada pengunjung khususnya pelancong antarabangsa dan domestik.

“Pada hari ini kami menjangkakan penerbangan tiba di Kota Kinabalu seramai lebih 5,000 orang bermula pagi tadi sehingga petang ini.  Selain itu kami juga turut mempersembahkan tarian kebudayaan dan tarian singa.

“Ini kerana tarian singa adalah salah satu kebudayaan yang masih dipraktik di Malaysia yang membawa kepada kepelbagaian budaya selain Yee Sang,” katanya.

Dalam pada itu, Haryanty berkata, selain KKIA, sambutan sama turut diraikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan 2; Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang; dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak.

Terdahulu, Haryanty turut menyambut ketibaan pelancong antarabangsa menerusi penerbangan AirAsia AK1511 dari Taipe.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Tourism Malaysia memaklumkan, Malaysia telah mencatatkan ketibaan seramai 38 juta pelawat pada tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 31.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Pendapatan pelancongan yang diraih pada 2024 pula melonjak kepada RM102.2 bilion iaitu meningkat sebanyak 50 peratus berbanding RM74.3 bilion yang direkodkan pada 2023 sekali gus melepasi paras prapandemik sebanyak 25.3 peratus.

China merupakan salah satu penyumbang pasaran terbesar untuk ketibaan pelawat antarabangsa ke Malaysia. Dengan pengecualian visa selama 30 hari di bawah Pelan Liberalisasi Visa bermula Disember 2023, ketibaan dari China menyaksikan lonjakan hampir 3,000% dengan merekodkan seramai 4.1 juta pelawat. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

NDRC UMS, NADMA teroka kerjasama dalam pengurusan bencana negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular