Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu: Lebih 20,000 pengunjung terdiri dari pelbagai kaum dan etnik hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Kerajaan negeri Sabah di sini pagi tadi.
Majlis yang berlangsung meriah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman dan isteri Toh Puan Faridah Tussin.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag serta Pengerusi Penganjur yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew serta barisan Kabinet negeri Sabah.
Meskipun majlis bermula pada jam 10 pagi namun orang ramai tidak melepaskan peluang untuk hadir seawal jam 8 pagi.

Pengunjung yang hadir turut dihidangkan dengan pelbagai hidangan makanan dari 15 buah hotel terkemuka sekitar Kota Kinabalu.
Sejurus ketibaan Tun Musa dan isteri kira-kira jam 11.30 pagi, pengunjung dihiburkan dengan persembahan tarian singa sebelum jamuan dimulakan dengan acara Yee Sang.
Selesai acara Yee Sang, Tun Musa turut menyampaikan sumbangan kepada warga emas yang hadir sebelum acara pentas diteruskan.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Josie Lai berkata, selaku penganjur, pihaknya berbesar hati dengan kehadiran pengunjung yang hadir.
“SICC pada pagi ini mula menerima pengunjung seawal jam 8 pagi, mereka telah menunggu selama lebih dua jam sebelum majlis bermula dan pihak penganjur sangat gembira dengan sambutan ini dan juga penerimaan dari orang awam.

“Kerajaan negeri juga telah menjemput sebanyak 15 buah hotel terkemuka dari sekitar Kota Kinabalu untuk menyediakan makanan kepada orang ramai di SICC,” katanya.

Beliau berkata, majlis itu turut dihadiri oleh pelbagai etnik dan kaum dan pihaknya turut gembira apabila ramai pengunjung turut mengenakan pakaian bertemakan etnik masing-masing. – SABAH MEDIA