KOTA KINABALU: Berikutan keadaan banjir serta hujan lebat berterusan di beberapa daerah di negeri Sabah sejak Jumaat, Sabah Electricity akan terus memantau dengan rapi bekalan elektrik di kawasan kawasan yang terjejas banjir.
Ketua Pegawai Operasi, Ir. Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata persiapan rapi telah dilaksanakan dengan mengerahkan pasukan teknikal bersiap-sedia 24 jam untuk membaiki sebarang kerosakan termasuklah penyediaan set janakuasa bergerak yang akan ditempatkan di lokasi-lokasi yang strategik.
Antara kawasan yang dilanda banjir ialah Telupid, Beluran, Kota Belud, Kota Marudu, Ranau dan Lahad Datu.
Beliau berkata, atas dasar keselamatan, bekalan di pencawang elektrik yang ditenggelami tersebut terpaksa dimatikan dan kerja-kerja pembaikan akan dibuat sejurus selepas paras air surut dan keadaan selamat.
“Buat masa ini, keselamatan semua rakyat Sabah yang terjejas banjir adalah keutamaan kami dan kita juga akan pastikan pemulihan bekalan akan dapat disegerakan apabila keadaan benar-benar selamat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sabah Electricity juga telah membuka bilik gerakan disemua daerah yang terlibat untuk memantau keadaan dan bertindak dengan kadar segera jika terdapat bahaya berkaitan dengan keselamatan elektrik.
Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk segera menghubungi Sabah electricity di talian 15444, 088-515000 atau Whatsapp 019- 852 5427.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati semasa menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air dan jangan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembab kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.