Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah mengalu-alukan peruntukan kira-kira RM25 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk memperbaiki segera infrastruktur yang rosak dan musnah akibat banjir, tanah runtuh dan kebakaran di Sabah dan Sarawak.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bantuan segera itu amat diperlukan bagi membantu membaiki kemudahan infrastruktur yang rosak dan terjejas akibat bencana banjir di beberapa daerah di negeri ini, sejak awal minggu ini.
“Sudah pasti bantuan ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung mangsa- mangsa banjir selain membaiki kerosakan infrastruktur akibat banjir. Kerajaan negeri juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dengan bantuan segera ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan kira-kira RM25 juta untuk memperbaiki segera infrastruktur yang rosak dan musnah akibat banjir, tanah runtuh dan kebakaran di Sabah dan Sarawak, ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat di Ipoh, hari ini.
Peruntukan ini juga merangkumi bantuan segera berjumlah RM1,000 kepada semua keluarga yang terkesan dengan bencana-bencana ini.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri telah bersiap sedia menghadapi Bencana Monsun Timur dengan seramai 14,209 kekuatan sumber manusia daripada pelbagai agensi penyelamat dan keselamatan terlibat.
“Antaranya, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, RELA dan lain-lain.
“Manakala jumlah keseluruhan logistik adalah sebanyak 1,456 yang melibatkan logistik darat, air dan udara.
“Selain itu, semua Pegawai Daerah yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah dibekukan cuti untuk menghadapi MTL pada kali ini,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas-petugas yang terlibat dalam operasi menyelamat dan pemindahan mangsa ke lokasi yang lebih selamat semasa bencana banjir berlaku.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah melaporkan, setakat jam 12 tengah hari tadi, seramai 5,725 mangsa, 1,939 Ketua Isi Rumah dan 73 kampung terjejas banjir.
Sebanyak 10 daerah dan daerah kecil yang terlibat bencana banjir iaitu Beaufort, Kota Marudu, Paitan, Beluran, Kota Belud, Lahad Datu, Tongod, Telupid, Sandakan dan Pitas.
Bermula daripada 29 Januari lalu sehingga 12 tengahari hari ini, sebanyak 39 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan di seluruh negeri.
Namun demikian, terdapat beberapa PPS ditutup hari ini setelah pemeriksaan kawasan dan rumah PenduduknTerjejas Bencana selamat untuk didiami kembali. – SABAH MEDIA