Kota Kinabalu: Seramai 386 pelajar Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS), diraikan dalam Majlis Anugerah Dekan Semester 2, Sesi 2023/2024 yang berlangsung di Bankuasi, Dewan Canselor UMS baru-baru ini.
Majlis tersebut antara lain bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang para pelajar yang telah menunjukkan prestasi luar biasa dalam bidang pengajian mereka, termasuk 18 pelajar yang meraih Purata Nilai Gred Semester (PNGS) 4.0, sekali gus membuktikan kecemerlangan akademik yang dicapai di UMS.

Dekan FSSA, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau, dalam ucapan beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan penting dalam kejayaan para pelajar, terutamanya ibu bapa serta tenaga pengajar fakulti.
Beliau turut menekankan pentingnya pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan pelajar sentiasa relevan dan bersedia menghadapi cabaran dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar.
“Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan usaha gigih para pelajar, tetapi juga dedikasi dan sokongan daripada pensyarah serta ahli keluarga.
“Saya berharap agar kecemerlangan ini dapat diteruskan dan dijadikan inspirasi serta pemangkin semangat kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan,” katanya.
Pada majlis tersebut, dua wakil pelajar cemerlang, Arman Idlan Haidis dari Program Bioteknologi dan Yvone Tse Iyi Wen dari Program Sains Marin, turut berkongsi pengalaman serta cabaran yang mereka hadapi sepanjang pengajian.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Darmesah Gabda; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Chee Fuei Pien; Ketua Pentadbiran FSSA, Aidah Noordin; dan Pengarah Majlis Anugerah Dekan, Ts. Dr. Abu Bakar Abd Rahman.