HomeUtamaKomuniti GEG main peranan bawa teknologi dalam bilik darjah

Komuniti GEG main peranan bawa teknologi dalam bilik darjah

Read Time:1 Minute, 21 Second

Kota Kinabalu : Komuniti ‘Google Educator Group’ (GEG) memainkan peranan penting dalam memacu perubahan dengan membawa teknologi ke dalam bilik darjah.

Focal Person Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Mohd Arif Tun Sakaran berkata, komuniti itu juga telah menunjukkan bahawa pendidik terus bersatu, berkolaborasi, dan berinovasi dalam menghasilkan transformasi pendidikan yang luar biasa.

“Anda tidak hanya memanfaatkan alat digital seperti Google Workspace for Education, tetapi juga mendidik generasi muda kita untuk menjadi lebih bersedia menghadapi cabaran dunia digital.

“Ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan dan wajar diraikan. Teknologi telah menjadi elemen yang tidak dapat dipisahkan daripada pendidikan masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada
Majlis GEG Connect Night di sini semalam.

Hadir sama Leader GEG Kota Kinabalu Ts. Mohd Idremzizan Idris.

Arif berkata, dengan teknologi seperti Generative AI dan aplikasi Google, ianya kini boleh mencipta pengalaman pembelajaran yang lebih menarik, bersifat peribadi, dan sesuai dengan keperluan individu pelajar.

Katanya, apa yang lebih penting adalah bagaimana seorang pendidik menggunakan teknologi ini untuk mencipta perubahan.

“Teknologi hanyalah alat; anda semua, sebagai pendidik, adalah pemacu sebenar yang menghidupkan teknologi ini dalam pembelajaran.

“Sebagai Focal Person Kebangsaan untuk Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti, dan Sektor Swasta (PIBKS), saya amat teruja melihat bagaimana GEG Kota Kinabalu telah mengukuhkan kerjasama antara pelbagai pihak.

“Penglibatan komuniti, ibu bapa, dan sektor swasta adalah asas penting untuk mencapai pendidikan yang holistik dan mampan.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada GEG Kota Kinabalu terutama kepada Mohd Idremzizan Idris atas kejayaan penganjuran majlis makan malam pada kali ini,” katanya.

Katanya, pihaknya juga yakin dengan gabungan usaha daripada semua pihak ianya dapat memperkukuh ekosistem pendidikan di Sabah dan seterusnya di peringkat nasional. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Musa adakan lawatan singkat ke Brunei Darussalam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular