HomeUtamaPenutupan separa kecemasan untuk pembaikan paip di Jalan Penampang Jumaat ini

Penutupan separa kecemasan untuk pembaikan paip di Jalan Penampang Jumaat ini

Read Time:1 Minute, 39 Second

Kota Kinabalu : Pengguna terutama di kawasan Kota Kinabalu dan sekitar dinasihatkan untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku gangguan bekalan air berikutan penutupan separa kecemasan yang dijadualkan pada Jumaat ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, penutupan yang dijangka bermula jam 2 petang itu perlu dilakukan bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan segera dijalankan ke atas kebocoran yang dikesan pada paip berukuran 1200 mm di Paip T2A,terletak di hadapan Skyline SIB,Jalan Penampang.

Katanya, kebocoran tersebut telah dikenal pasti pada paip washout tegak (upstand) berukuran 250mm,yang dipercayai berpunca daripada tekanan beban lateral dari ruang washout.

“Kerja-kerja pembaikan akan merangkumi penggalian kawasan terjejas, mengenal pasti punca kebocoran, dan membaiki paip yang rosak. Keseluruhan proses dijangka mengambil masa sekitar 12 jam untuk disiapkan.

“Sepanjang tempoh pembaikan, Loji Rawatan Air (LRA) Moyog akan beroperasi pada kapasiti terhad yang menghasilkan hanya 109 juta liter sehari (MLD) berbanding kapasiti biasa sebanyak 187 MLD,iaitu pengurangan sebanyak 41 peratus dalam pengeluaran air terawat.

“Oleh itu, pengguna di Kota Kinabalu, Penampang, dan Putatan, termasuk kawasan seperti Pusat Bandar Kota Kinabalu, Kepayan, Tanjung Lipat, Kolombong, Inanam, Luyang, Bukit Padang Penampang, Kobusak, KDCA, Jalan Penampang Baru, Jalan Pintas, Donggongon, Jalan Panglima Banting/Country Heights Apartments, Jalan Bundusan, Beverly Hills Apartments, Putatan, Kg.Ketiau, Petagas, dan kawasan sekitarnya, dijangka mengalami tekanan air rendah atau gangguan sementara bekalan air,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan air ini.

Namun katanya, orang ramai dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sehingga bekalan kembali pulih sepenuhnya.

“Pasukan teknikal yang dilantik akan bekerja sepanjang masa bagi memastikan pembaikan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan untuk mengurangkan impak kepada pengguna.

“Orang ramai digalakkan untuk mendapatkan maklumat terkini melalui pengumuman rasmi Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada talian Cereline JANS atau melalui laman web dan media sosial rasmi JANS,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Cederakan ‘kekasih gelap’, dua wanita dikenakan PKW

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular