KOTA KINABALU: Seorang pejalan kaki lelaki berusia dalam lingkungan 40-an maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kenderaan ketika cuba melintas jalan di Jalan Bunga Raja Kayu berhampiran lampu isyarat PPK Lido, pada malam Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, kejadian itu dilaporkan kepada pihak polis pada jam 8.55 malam, Rabu (5 Feb).
Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa terbaring di tengah jalan raya, di antara garisan pembahagi lorong yang menghala ke arah Penampang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kasim berkata, berdasarkan kedudukan mayat, mangsa dipercayai cuba melintas dari arah kiri ke kanan jalan apabila dilanggar oleh sebuah kenderaan yang jenis dan nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti dan telah melarikan diri selepas kemalangan berlaku.
“Polis kini giat menjalankan siasatan lanjut untuk mengumpul bukti dan keterangan bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Sehubungan dengan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk tampil memberi maklumat kepada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu dan mematuhi peraturan lalu lintas.
“Bagi pejalan kaki, diingatkan untuk selalu melihat kiri dan kanan jalan sebelum melintas bagi memastikan keselamatan,” tegasnya.