Kota Kinabalu : Daerah Kota Marudu kembali dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan dan kenaikan paras air sungai di paras bahaya sejak semalam.
Berikutan itu, Pegawai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Marudu Meirin Sugara berkata, satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diisytiharkan dibuka jam 1.30 pagi tadi.
Katanya, PPS yang dibuka adalah di Dewan Kampung Nolotan.
“Saya selaku Pengerusi JPBD Kota Marudu mengisytiharkan satu PPS dibuka di Dewan Kampung Nolotan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam pada itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah mangsa terjejas banjir terus meningkat kepada 608 orang dari 162 keluarga di tiga daerah di Sabah setakat jam 4 pagi tadi.
Menurut kenyataan itu, antara daerah yang terlibat adalah di Beaufort; Kinabatangan dan Keningau.
Setakat ini sebanyak lima buah PPS telah dibuka bagi menempatkan mangsa terjejas di daerah terlibat.
Di Beaufort, PPS yang dibuka adalah di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Dewan Selagon; Keningau di Dewan Koningau Majlis Daerah Keningau dan Dewan Masyarakat Keningau.
Manakala di Kinabatangan, PPS yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sukau dan SK Bukit Garam. – SABAH MEDIA / FOTO APM SABAH