Oleh NORMIMIE DIUN
PENAMPANG: Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa penggunaan sistem MyCard diperluas dalam program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Sabah dan Sarawak mulai tahun ini, memudahkan penerima membeli keperluan asas.
Menurut Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, sebelum ini, pemberian bantuan di dua negeri tersebut dilakukan secara tunai, yang kadangkala mengambil masa berbulan untuk sampai kepada penerima. Namun, dengan pengenalan MyCard, pembelian barang keperluan asas akan menjadi lebih mudah melalui premis pasaraya yang terlibat.
“Sebelum ini, pelaksanaan bantuan di Sabah dan Sarawak dilakukan secara tunai, yang memerlukan masa yang lama untuk disampaikan. Dengan penggunaan MyCard ini, penerima boleh membeli barang keperluan asas di pasaraya yang terlibat, dan mereka juga boleh memeriksa baki yang ada dalam MyCard mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Progran Jualan Rahmah Madani Back To School 2025 sempena musim cuti persekolahan di salah sebuah pasaraya di ITCC di sini hari ini.
Armizan turut menjelaskan bahawa perbezaan antara program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA adalah, STR memberikan bantuan tunai ke dalam akaun penerima, manakala SARA bertujuan untuk membeli keperluan asas.
Katanya, pada tahun 2025, kerajaan telah meningkatkan jumlah sumbangan untuk kedua-dua program ini daripada RM10 bilion kepada RM13 bilion.
Selain itu, beliau mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak atas inisiatif mereka dalam memberikan bantuan tunai.
Tambah beliau, di Sabah, Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang bermula pada bulan Februari ini, akan memberikan bantuan tunai sebanyak RM300 sebulan kepada ketua isi rumah golongan miskin dan miskin tegar.
“Dengan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, kita berharap dapat meringankan beban sara hidup rakyat,” kata Armizan.
Beliau juga menegaskan bahawa digitalisasi program SARA ini tidak terhad kepada kawasan bandar sahaja.
“Premis-premis perniagaan yang ingin menyertai program ini boleh memohon kepada Kementerian Kewangan, dan senarai lokasi yang terlibat boleh disemak melalui laman web mereka,” ujarnya.